Malaysia Dateline

MPKKP Sarawak bakal dilancarkan Mac 2020

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Sarawak akan dilancarkan pada Mac 2020 nanti.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen menjelaskan, sebanyak 3,061 unit MPKKP telah dikenalpasti untuk dilancarkan pada tarikh dalam bulan Mac yang belum ditentukan nanti.

Katanya, tujuan MPKKP ditubuhkan ialah untuk menyampaikan program-program, peruntukan serta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan khususnya kepada penduduk di luar bandar dan pedalaman di negeri ini.

“MPKKP ini adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Manakala kementerian lain juga boleh menggunakan saluran tersebut,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama komponen Pakatan Harapan (PH) Sarawak bagi tahun 2020 di Ibu Pejabat DAP Sarawak di Kuching hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, MPKKP tidak akan menggantikan peranan Tuai Rumah dan Ketua Kampung di negeri ini.

Malah tambahnya, Tuai Rumah dan Ketua Kampung akan kekal menjalankan tugas dan peranan mereka seperti biasa.

“Penubuhan MPKKP ini tidak menyalahi perlembagaan seperti yang didakwa oleh sesetangah pihak terutamanya Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Justeru, kita hanya melantik pegawai di setiap unit bagi menguruskan program-program, peruntukan dan bantuan yang disalurkan setiap kementerian di bawah Kerajaan Persekutuan,” tegasnya lagi.

Turut hadir pengerusi PKR Sarawak yang juga Menteri Kerja Raya, Baru Bian, Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak Hud Andri Zulkarnaen dan Ketua Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Suffian.