Malaysia Dateline

MPN, Belanjawan 2022 perlu fokus pulih semula ekonomi luar bandar

Biro Pertanian AMANAH dan Pembangunan Luar Bandar, menggesa kerajaan untuk segera memberi suntikan penggalak kepada ekonomi luar bandar yang telah menyebabkan segmen penduduk di kawasan tersebut lebih teruk terjejas berbanding penduduk bandar akibat wabak Covid-19.

Anggotanya, Faiz Fadzil berkata, kerajaan perlu memperkenalkan pelan strategi yang khusus dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi melonjakkan aktiviti ekonomi luar bandar menerusi pemantapan sentimen perniagaan setempat, pengukuhan pasaran buruh dan pemulihan kuasa pembeli.

Katanya, Belanjawan 2022 yang bakal diumumkan dalam sekitar dua bulan lagi juga perlu memperuntukkan lebih banyak dana perbelanjaan pembangunan untuk membina semula ekonomi luar bandar.

“Untuk tahun 2020 dan 2021, kerajaan telah memperuntukkan sekitar RM6.3 bilion dan RM6.7 bilion. Oleh itu, kerajaan digesa memperuntukkan sejumlah RM8 bilion dan dibahagikan ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dengan lebih adil dan bersasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyarankan supaya kerajaan cenderung untuk membina ekonomi luar bandar dalam pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12, dengan memperkukuh peluang pekerjaan di kawasan pedalaman.

“Kerajaan harus berusaha mengurangkan keperluan graduan Malaysia yang terpaksa meninggalkan kampung halaman kerana tiada pekerjaan yang sesuai dari segi kualiti dan gaji.

“Secara umumnya, kawasan luar bandar harus bangkit menceburi lebih banyak aspek perniagaan yang mempunyai nilai tambah.

“Bukan itu sahaja, lebih banyak pembekal atau “vendor” untuk industri-industri penting perlu diwujudkan di kawasan luar bandar. Ini seterusnya akan mengukuhkan rantaian bekalan ekosistem perniagaan dan industri Malaysia terutama sektor pertanian,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa lerajaan tidak boleh memperkenalkan satu dasar generik bagi kawasan luar bandar dan mengharapkan dasar tersebut setimpal dengan keperluan di seluruh Malaysia.

Tambahnya, kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak pelaburan awam serta swasta di seluruh negara, dan bukannya tertumpu kepada beberapa negeri atau kawasan bandar sahaja.

“Lihat sahaja prestasi pelaburan diluluskan Malaysia untuk tempoh enam bulan pertama 2021, di mana hampir 80 peratus daripada amaun pelaburan diluluskan ini datang daripada lima negeri sahaja,” katanya.