Malaysia Dateline

MPN nafi dakwa amalan demokrasi berparlimen tumbang apabila Parlimen digantung

Majlis Profesor Negara (MPN) menafikan pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan Proklamasi Darurat 2021 yang tular sejak semalam.

Presidennya, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose menyifatkan kenyataan yang antara lain menyebut amalan demokrasi berparlimen tumbang apabila Parlimen digantung itu sebagai berita palsu.

Beliau berkata, MPN telah mengadakan mesyuarat melibatkan pakar-pakar perlembagaan, sains politik dan lain-lain untuk meneliti dan memperhalusi perkara-perkara berkaitan Proklamsai Darurat itu.

“Sesungguhnya MPN sebagai sebuah badan yang mewakili para ilmuwan negara, menerima dan menyanjung titah Yang di-Pertuan Agong memperkenan Proklamasi Darurat 2021 demi menangani pandemik Covid-19 secara lebih berkesan.

“Namun, pihak MPN melalui mesyuarat tersebut turut membangkitkan beberapa isu yang mungkin boleh diberikan perhatian khususnya sistem semak dan imbang serta ketelusan dalam pemerintahan negara sepanjang tempoh darurat itu dikuatkuasakan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Raduan mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik untuk bersama-sama menentukan tempoh darurat dapat benar-benar memenuhi matlamat menangani wabak Covid-19 serta kesan-kesan negatif berkaitan dengannya.

“MPN juga tegas menekankan agar tumpuan harus juga diberikan agar agenda ekonomi terus dipertingkatkan dan kesejahteraan rakyat terus diperlihara,” tambahnya lagi.