MPN PKR Perlis sokong Anwar bertanding jawatan Presiden

MPN PKR Perlis sokong Anwar bertanding jawatan Presiden

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis sebulat suara menyokong penuh Penasihat Umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dicalonkan sebagai presiden PKR dan berharap jawatan itu tidak dipertandingkan.

Pengerusi MPN Perlis, Mohammad Faisol Abd Rahman (gambar) juga mahu semua pihak memberikan laluan kepada Anwar untuk menerajui PKR.

Anwar, katanya, bukan sahaja diperlukan untuk memimpin PKR malah membawa agenda reformasi seluruh rakyat Malaysia sebagai bakal perdana menteri kelapan yang disepakati oleh Pakatan Harapan (PH).

“Keputusan beliau bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti tidak lama lagi adalah tepat dan selari dengan kejayaan PKR dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas,” kata Mohammad Faizol dalam kenyataan media hari ini.

Mohammad Faisol meminta seluruh anggota parti mendoakan Anwar segera sembuh setelah menjalani pembedahan di Istanbul, Turki, baru-baru ini.

Semalam, kesemua empat wakil rakyat PKR di Perlis iaitu Anggota Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad, Asrul Nizan Abd Jalil (ADUN Sena), Gan Ay Ling (Adun Indera Kayangan) dan Nor Azam Karap (Adun Kuala Perlis) menyatakan sokongan mereka untuk Anwar dicalonkan bertanding jawatan presiden.