Malaysia Dateline

MPP PKR: SPRM perlu berani heret politikus korup ke pengadilan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak supaya tidak tunduk kepada mana-mana politikus dan harus berani menegakkan keadilan biarpun ianya berprofil tinggi.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, sesiapa sahaja yang terlibat dalam dakwaan kegiatan rasuah perlu diambil tindakan tanpa mengambil kira kedudukan mereka dalam kerajaan atau sebaliknya.

“Dalam kes mantan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador mendakwa ada usaha campur tangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam pelantikan hieraki PDRM dan ianya perlulah diberi perhatian serius.

“Hal ini tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan seorang menteri Kabinet dan tindakan perlu diambil segera dengan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memastikan situasi sebenar setiap dakwaan tersebut.

“Dengan mewujudkan RCI, kita optimis kedudukan sebenar setiap salah laku dan kewujudan unsur-unsur rasuah dapat dikenal pasti. Dengan ini kita yakin ia akan dapat memberi keadilan tanpa menganiayai mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Tambah Abdul Halim yang juga Exco negeri Pulau Pinang, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya berusaha bagi menubuhkan RCI tanpa lengah kerana ia turut melibatkan kepentingan awam dan juga nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kata beliau lagi, SPRM harus heret segera mereka yang terlibat seperti mana yang didakwa bagi memastikan imej dan nama baik PDRM dan SPRM tidak tercalar dengan persepsi negatif selepas pendedahan bekas KPN baru-baru ini.