Malaysia Dateline

MPPD kumpul maklum balas awam berhubung cadangan perluas kawasan pentadbiran

Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) kini mengumpul maklum balas daripada orang awam berhubung cadangan perluasan kawasan pentadbiran bagi membolehkannya meningkatkan tahap perkhidmatan kepada masyarakat.

Yang Dipertua MPPD Mohd Zamri Mohd Esa berkata maklum balas itu dikumpul melalui program publisiti dan penyertaan awam di tiga lokasi antaranya Dewan MPPD.

“Selain itu, kita juga mengambil maklum balas awam ini di ruang legar Tesco dan Regina Mall. Maklum balas termasuk bantahan dan juga cadangan ini kita kumpulkan bagi melihat respons orang awam berhubung cadangan perluasan kawasan yang sedang kita rangkakan ini.

“Maklum balas daripada orang awam yang kita ambil bermula dari 13 Disember hingga 9 Januari  ini nanti akan kita kumpulkan dan dibawa ke mesyuarat penuh jawatankuasa MPPD untuk penilaian,” katanya.

Mohd Zamri berkata MPPD juga turut menjalankan program publisiti dan penyertaan awam Rancangan Tempatan Malaysian Vision Valley (RTMVV) dalam tempoh yang sama iaitu dari 13 Dis hingga 9 Jan.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam RTMVV 2045 Peringkat Daerah Port Dickson serta Cadangan Perluasan Kawasan Pentadbiran MPPD di sini, hari ini.

Antara maklum balas yang telah diterima MPPD sepanjang program publisiti itu, kata beliau ialah berhubung bantahan penduduk berkenaan kawasan perindustrian yang akan ditukar kepada kawasan perumahan.

Orang ramai khususnya wakil komuniti dalam daerah Port Dickson serta mereka yang mempunyai kepentingan dalam perancangan kawasan MVV digesa mengambil peluang ini untuk menyalurkan maklum balas mereka, katanya.

— BERNAMA