Malaysia Dateline

MPS, kalau kamu tak mahu bina, kenapa robohkan dewan penduduk bina

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) didesak untuk segera memberikan penjelasan berhubung tindakan mereka yang mahu merobohkan dewan orang ramai yang dibina oleh penduduk di kawasan Taman Ivory, Bandar Tasik Puteri.

Ahli Parlimennya, William Leong Jee Keen (gambar) mendakwa, MPS tidak pernah sekali pun menyumbang untuk pembinaan dewan, biarpun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah-daerah lain di Selangor telah membina dewan orang ramai sejak 2008.

Oleh sebab itu katanya, penduduk di Taman Ivory dengan inisiatif mereka sendiri telah mengutip dana untuk membina dewan bagi kegunaan penduduk di taman itu.

“Penduduk di seluruh Selayang terutamanya di Bandar Tasik Puteri, Batu Arang dan Bandar Country Homes telah lama meminta satu dewan orang ramai dibina sebab ada keperluan untuk kemudahan ini.

“Mengikut maklumat yang diberikan, Ahli Majlis MPS, Loo Voon May, telah menulis surat rayuan kepada MPS dengan sokongan penuh daripada 200 orang penduduk Ivory Dua, 134 orang ahli persatuan dan 124 orang penyokong untuk menangguhkan tindakan merobohkan dewan supaya prosedur-prosedur dan apa peraturan yang tidak diikuti oleh penduduk dapat dibetulkan.

“Tetapi malangnya, MPS tidak melayan rayuan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga meminta penjelasan mengapa kilang haram boleh diberikan peluang untuk membetulkan pembinaan yang tidak mengikut peraturan, namun peluang tidak pula diberikan kepada dewan penduduk.

Menurutnya, MPS selama ini bukan sahaja tidak meroboh tetapi enggan mengambil apa-apa tindakan terhadap bangunan yang dibina oleh parti politik seperti Umno, MCA dan MIC atas kawasan lapang atau taman penduduk.

Beliau turut menegaskan bahawa bangunan parti politik todak digunakan oleh orang ramai dan sama sekali tidak memberikan manfaat kepada penduduk.

“Walaupun permintaan berulang-kali dibuat tetapi MPS melindungi pihak-pihak politik ini. Parti politik ini dapat terus menggunakan kawasan lapang dan pembinaan mereka tidak diroboh. Kalau dewan parti politik ini tidak disentuh, mengapa dewan penduduk di Taman Ivory dirobohkan?,” soalnya.