MPT Bersatu  kemuka cara Adun Pas atasi masalah di Selangor

MPT Bersatu kemuka cara Adun Pas atasi masalah di Selangor

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk A Kadir Jasin mencadangkan kemelut dalaman Pas di Selangor diatasi dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)  Pas menjadi Adun Bebas.

Beliau menjelaskan, tiga Adun Pas yang terdiri daripada Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib tidak lagi layak menduduki Exco kerajaan negeri.

“Termasuk mereka, Pas ada 13 ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) setelah dua keluar untuk sertai Amanah.

“Macam mana mereka hendak terus isi jawatan itu sedangkan parti mereka secara sahih dan lantang membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR?” soalnya dalam tulisan di blognya hari ini.

Kadir berkata, Pas tiada ada pilihan melainkan berpisah daripada PKR kerana itulah implikasi pembatalan tahaluf siyasi dengan PKR iaitu keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas.

“Tapi mereka hendak kekal juga sebagai rakan PKR dan duduk dalam Exco, caranya ialah dengan keluar Pas dan menjadi Adun bebas.

“Atau lagi bagus kalau mereka menyertai mana-mana parti Pakatan Harapan dalam kerajaan Selangor. Mereka boleh sertai PKR atau mereka boleh ikut rakan-rakan mereka yang telah menyertai Amanah.

“Satu lagi kemungkinan – walaupun kecil – ialah mereka mengisytiharkan Pas Selangor sebagai bebas daripada Pas pusat macam telah berlaku kepada Parti Kongres India yang ada Kongres pusat dan Kongres negeri,” ujarnya.

Beliau berkata, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah membuka jalan ke arah itu apabila beliau dilaporkan berkata Pas masih boleh kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri selaras dengan mandat yang dimenanginya dalam PRU 2013 lalu.

COMMENTS

Wordpress (0)