Malaysia Dateline

mQuit bantu perokok tegar berhenti merokok

Seramai 143 orang berdaftar untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan mQuit setelah Kementerian Kesihatan mewartakan tempat makan sebagai tempat larangan merokok sejak 1 Januari lepas.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata statistik tersebut diambil bermula Januari sehingga minggu kedua Februari 2019.

Katanya sehingga kini KKM tidak menetapkan sasaran perokok yang berdaftar dibawah mereka.

“Namun, kami menyasarkan penurunan sehingga 15 peratus perokok pada tahun 2025 berbanding jumlah terkini 23 peratus perokok.

“Selaras dengan perluasan tempat larangan merokok, pihak KKM komited untuk memberikan bantuan kepada semua perokok agar dapat berhenti merokok dan hidup dengan lebih sihat,”katanya.

Menurutnya lagi, kajian yang dijalankan KKM menunjukkan 88 peratus masyarakat Malaysia mula akur dengan teguran pemilik kedai makan supaya tidak merokok dikawasan tersebut.

“Walaupun begitu kami dapati 12 peratus dari mereka masih ingkar dan tidak mengikut arahan.

“Kami sedar larangan merokok bukan satu yang popular dan kami dapat banyak serangan dan tuduhan. Tetapi kami yakin ini cara untuk atasi masalah rokok ditempat awam.

“Dengan itu saya rasa penting bagi kerajaan memperkukuhkan lagi kawalan kerana kesan akibat asap rokok pasif akan memberikan kemudaratan yang sama seperti perokok aktif,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis promosi perkhidmatan berhenti merokok mQuit sempena pewartaan tempat makan sebagai tempat dilarang merokok.

Turut hadir TImbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Nor Hisham Abdullah.

M Quit Services merupakan suatu Program Perkhidmatan Berhenti Merokok yang di tawarkan di fasiliti kesihatan awam dan swasta di Malaysia bertujuan untuk meningkatkan kebolehdapatan perkhidmatan berhenti merokok bagi mereka yang ingin keluar dari tabiat merokok.

Sehingga kini, perkhidmatan berhenti merokok ditawarkan di 731klinik kesihatan, 46 hospital kerajaa dan 164 fasiliti swasta yang telah diberikan akreditasi.

Orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang jomquit.moh.gov.my untuk maklumat lanjut.