Malaysia Dateline

MRCB catat untung RM101.2 juta bagi tahun kewangan 2018

Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM101.17 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 berbanding RM161.91 juta pada 2017.

Ini disebabkan kemerosotan perolehan sebanyak 29.2 peratus kepada RM1.87 bilion berikutan ketiadaan perolehan sebanyak RM1.1 bilion daripada pembangunan semula KL Sports City di Bukit Jalil yang siap pada Julai 2017, demikian diumumkan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Projek KL Sports City menyumbang 41 peratus kepada jumlah perolehan MRCB pada 2017.

“Selain itu, hasil kutipan tol daripada Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL), yang telah dihentikan pada 1 Jan, 2018, diklasifikasikan semula sebagai operasi yang dihentikan pada 2018, dan seterusnya tidak menyumbang perolehan pada tahun itu,” menurut syarikat tersebut.

Mengenai prospeknya, MRCB berkata segmen hartanah kumpulan itu mempunyai jumlah jualan belum dijelaskan terkumpul yang dijangka mencatatkan perolehan sebanyak RM1.6 bilion bagi sepanjang tempoh pembangunan projeknya, kira-kira 87 peratus daripadanya kediaman dan 13 peratus komersial.

“Dengan kepentingan dalam tanah bandar seluas 114.12 hektar, kumpulan itu mempunyai aliran projek masa depan yang mampan dengan jumlah nilai pembangunan kasar sebanyak RM31 bilion,” katanya.

Bagi bahagian pembinaan, kejuruteraan dan persekitarannya, ia terus membida tender untuk meningkatkan nilai perolehan kontraknya.

MRCB berkata bahagian itu pada masa ini mempunyai tender terbuka bernilai RM2.93 bilion.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah itu berkata pendapatannya menerima impak daripada ketiadaan keuntungan penjualan sekali yang dicatatkan pada 2017 dan kerja-kerja pembinaan yang perlahan dalam projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dijalankan oleh anak syarikat 50 peratus milik MRCB, MRCB George Kent Sdn Bhd.

Katanya rundingan sedang dijalankan dengan kerajaan mengenai perubahannya daripada rakan pelaksanaan projek kepada kontrak siap guna harga tetap.

Pengarah Urusan Kumpulan Imran Salim berkata susulan siap guna harga tetap ditandatangani, perolehan yang tertangguh akan mula dicatatkan semula pada tahun ini.- BERNAMA