Malaysia Dateline

MRCB terima penyelesaian RM1.33 bilion daripada kerajaan bagi penamatan EDL

Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), menerusi anak syarikat milik penuhnya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd, menerima RM1.325 bilion daripada kerajaan sebagai jumlah penyelesaian bagi penamatan konsesi Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur (EDL).

Ketua Pegawai Kewangannya, Ann Wan Tee, dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembayaran tersebut merupakan satu peristiwa penting kerana ia menandakan berakhirnya program rasionalisasi aset bukan teras berkaitan dengan transformasi korporat MRCB.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memuktamadkan rundingan dengan segera dan pembayaran jumlah penyelesaian sebanyak RM1.325 bilion itu akan dapat mengukuhkan lembaran imbangan syarikat.

Ann berkata jumlah yang diterima pada 23 Nov itu akan dapat mengurangkan dengan segera tahap kadar hutang bersih MRCB daripada 0.71x kepada 0.46x.

Tahap kadar hutang bersih syarikat itu dijangka turun dengan ketara kepada 0.22x selepas proses penjualan 80 peratus daripada tanah seluas 30.45 hektar di Bukit Jalil kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selesai pada akhir tahun ini.

— BERNAMA