Malaysia Dateline

MRT menuju Dataran Merdeka penuh seawal jam 5 pagi lagi

Keterujaan rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang Ke-65 boleh dilihat dengan jelas apabila seawal jam 5 pagi lagi tren menuju ke Dataran Merdeka hampir penuh dengan orang ramai.

Rata-rata mereka kelihatan bersemangat dengan mengenakan warna-warna baju yang harmoni dengan bendera Malaysia.

Keadaan di stesen LRT Masjid Jamek setakat jam 6.30 pagi juga sesak dengan rata-rata orang ramai tersangkut beberapa minit di eskalator dan kawasan tangga menyebabkan perkhidmatan eskalator dihentikan buat sementara akibat kesesakan.

Sekitar stesen Masjid Jamek

Sejak malam tadi juga, warga kota sudah berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyertai sambutan ambang merdeka.

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 kali ini dijangka mendapat sambutan luar biasa berikutan sudah dua tahun ia tidak diraikan susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Dengan kekuatan hampir 20,000 peserta, pelbagai persembahan dan acara penuh gilang-gemilang bakal dipamerkan di 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Tentatif program

Acara pada hari ini akan dimulakan dengan ketibaan rasmi pembesar negara, sebelum keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta kuda diraja.Ia diikuti lintasan hormat pesawat membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam yang menjadi antara acara tradisi sambutan Hari Kebangsaan.

Lebih menarik, penonton akan disajikan dengan lintasan kereta berhias atau float daripada kontinjen pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan seperti kereta berhias gabungan syarikat telekomunikasi tempatan serta float yang membawa replika satelit MEASAT yang menjadi antara tumpuan utama pada hari berkenaan.