M+S milik Khazanah jual ruang pejabat, runcit di Duo pada RM4.73 bilion

M+S milik Khazanah jual ruang pejabat, runcit di Duo pada RM4.73 bilion
 M+S Pte Ltd, syarikat 60 peratus milik Khazanah Nasional Bhd, menjual keseluruhan pegangannya dalam Ophir-Rochor Commercial Pte Ltd (ORC) kepada Allianz Real Estate dan firma ekuiti persendirian hartanah Gaw Capital Partners pada S$1.575 bilion (kira-kira RM4.73 bilion).

Harga jualan itu bersamaan S$2,570 (RM7,725) bagi setiap kaki persegi kawasan boleh sewa bersih.

“Berdasarkan aset runcit dan pejabat yang merekodkan prestasi baik mengatasi jangkaan, kami gembira dengan cadangan transaksi S$1.575 bilion, iaitu harga yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini bagi kawasan berkenaan, telah memberi peluang untuk memaksimumkan pulangan kepada pemegang saham kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) M+S, Kemmy Tan dalam kenyataan.

ORC, anak syarikat milik penuh M+S, merupakan pemaju dan pemilik Duo Tower dan Duo Galleria iaitu bahagian pejabat dan runcit Duo.

Duo adalah pembangunan kegunaan bercampur yang juga termasuk Duo Residences dan hotel Andaz Singapore, terletak di tengah-tengah Singapura.

Kemmy berkata M+S, yang akan terus memiliki hotel Andaz Singapore, berharap dapat bekerjasama dengan gabungan Allianz Real Estate dan Gaw Capital Partners, yang mempunyai rekod prestasi global mengagumkan dalam pengurusan dan pembangunan hartanah, untuk memperkukuh Duo sebagai lokasi menarik bagi pengembara dan perniagaan global.

Sementara itu, CEO Allianz Real Estate bagi Asia-Pasifik, Rushabh Desai berkata Duo menyediakan satu kawasan dengan tempat tinggal, tempat bekerja dan beraktiviti serta mampu muncul sebagai hab perniagaan utama Singapura.

Beliau berkata ia turut menjadi tambahan terbaik kepada portfolio pejabat dalam bandar sepanjang masa global pihaknya.

“Transaksi menarik dengan Allianz Real Estate menjadi langkah penting masa depan dalam mengembangkan perkongsian dengan syarikat itu. Duo memiliki potensi amat besar berdasarkan lokasi dan kesalinghubungan strategiknya dan ini menjadi pencapaian amat bermakna bagi Gaw Capital dalam pasaran hartanah Singapura,” katanya.

Pembangunan Duo terletak di koridor Ophir-Rochor di Singapura, bersebelahan daerah warisan Kampong Glam, dengan reka bentuk oleh arkitek terkemuka Ole Scheeren.

Duo Tower merangkumi ruang pejabat Gred A utama setinggi 20 tingkat diduduki syarikat multinasional berprestij dan syarikat tempatan utama manakala Duo Galleria merupakan pusat beli-belah runcit yang bersambung terus dengan stesen MRT Bugis, yang menjadi stesen pertukaran antara laluan Downtown dan East West.

Sepanjang operasi tiga tahun lepas, M+S berkembang kukuh dan mengekalkan komuniti penyewa, peruncit, pemilik kediaman, pembeli dan pelanggan hotel di Duo.

Pembangunan tersebut telah menjadi ikon di Bugis dan telah berperanan penting dalam menyediakan kerancakan dan kepelbagaian budaya bagi kawasan berkenaan dengan membawa penyewa pejabat multinasional, konsep runcit baharu dan hotel Andaz Singapore terkemuka antarabangsa yang mempunyai pelanggan global.

Presiden dan Pengurus Utama Gaw Capital Partners, Kenneth Gaw berkata M+S telah melaksanakan kerja hebat dalam membangunkan pejabat Duo dan kompleks hotel di samping berjaya menyewakan bangunan itu kepada kumpulan penyewa berkelas dunia.

“Memandangkan M+S akan terus memiliki bahagian kompleks hotel, kami berharap dapat bekerjasama untuk meningkatkan aset serta memanfaatkan pertumbuhan berterusan kawasan Bugis sebagai wilayah baharu bagi aktiviti masa lapang dan perniagaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Allianz Real Estate berperanan mewakili beberapa syarikat Allianz Group, manakala firma ekuiti persendirian hartanah Gaw Capital Partner pula mewakili akaun berasingan dana kekayaan negara.

— BERNAMA