Malaysia Dateline

MSN bincang hala tuju dua pasangan beregu badminton minggu depan

Majlis Sukan Negara (MSN) akan membincangkan hala tuju beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dalam persediaan mereka ke Sukan Olimpik 2020, pada minggu depan.

Walaupun dua pasangan beregu negara itu telah membuat keputusan keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun selaku pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro, 2016 itu masih berada dalam ranking terbaik dunia dan berpotensi beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo, Jepun.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kedudukan empat pemain itu setakat ini masih berada dalam program baharu kendalian MSN tetapi perlu dibincangkan semula pada  mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) berikutan keputusan mereka menjadi pemain badminton profesional.

“Pada asalnya pemain yang keluar itu berada dalam senarai awal. Tetapi selepas mereka membuat keputusan keluar daripada persatuan sukan, ia menjadi perkembangan baru dan kami perlu membincangkan perkara ini semula dalam mesyuarat itu nanti.

“Dalam kes ini, banyak kesannya…kita akan bincangkan dalam mesyuarat JKK dan mengambil kira pandangan daripada BAM, Majlis Olimpik Malaysia dan Institut Sukan Negara (ISN),” katanya kepada pemberita pada Majlis Skim Bantuan Khas Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di MSN, Bukit Jalil di sini.

Sebelum ini, atlet berprestasi tinggi berada dalam Program Podium namun selepas penstrukturan semula program itu dibuat berdasarkan empat temasya utama iaitu Sukan Olimpik/Paralimpik, Sukan Asia/Para Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA/Para ASEAN menerusi sistem ‘Tiering’.

Berdasarkan program latihan yang kini berada di bawah MSN, pasangan beregu badminton negara itu berada pada ‘Tier Pertama’.

“Kita telah tubuhkan satu jawatankuasa pemilihan terdiri daripada MOM, ISN, Persatuan Sukan Kebangsaan dan MSN. Empat agensi utama ini telah berbincang mengenai senarai nama atlet-atlet yang layak secara merit mengikut kriteria iaitu ‘tier’

“Semua atlet ini telah ditawarkan kontrak untuk program kita bagi tahun 2019 dan pada penghujung bulan ini kita akan muktamadkan perkara itu kerana perlu mengambil kira kemungkinan ada atlet yang tolak tawaran dan sebagainya,” katanya.

— BERNAMA