Malaysia Dateline

MSN bincang strategi mengarus perdanakan STI ke arah negara berteknologi tinggi

Negara perlu mencontohi kejayaan pembangunan sains tekonologi dan inovasi (STI) negara-negara maju yang ditunjangi sektor perindustrian berteknologi tinggi dalam penyelidikan pra-pengkomersialan untuk membangunkan produk baharu yang boleh dieksport ke pasaran antarabangsa.

Dalam mesyuarat pertama Majlis Sains Negara (MSN) yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa berkata sepakat dicapai bahawa kolaboratif antara kerajaan dan industri berteknologi tinggi perlu diperluaskan lagi.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (MESTECC) dalam kenyataannya berkata, ini demi meningkatkan jumlah penyelidikan pra-pengkomersialan yang memberi fokus kepada penyelidikan pembangunan bagi menghasilkan inovasi berimpak tinggi.

“Buat masa ini, Malaysia memperuntukkan 14.6 peratus daripada keseluruhan peruntukan R&D negara bagi penyelidikan pembangunan berbanding negara-negara jiran seperti Thailand (51.7 peratus) dan Singapura (48.3 peratus).
“Kolaborasi ini diperluaskan ke empat sektor iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan, Fintech dalam Kewangan Islam (Perkhidmatan), Industri 4.0 (Pembuatan) dan Rangkaian Bekalan Halal di bawah program i-Connect MESTECC,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Majlis dengan itu bersetuju agar MESTECC menjalankan kerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Ini katanya, bagi mengenal pasti bidang tujahan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 mulai suku pertama 2020.

Majlis turut menyokong penggubalan Akta STI di bawah inisiatif dasar STI 2021-2030, untuk menginstitusikan landskap STI negara demi memastikan kesinambungan jangka panjang serta tadbir urus yang jelas.

“MESTECC dan Kementerian Pendidikan akan bekerjasama membangunkan kurikulum dan pedagogi yang bersesuaian bagi meningkatkan minat terhadap mata pelajaran sains di sekolah.
“MESTECC dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperhalusi insentif pengecualian cukai kepada syarikat R&D.

“Ia termasuk penyelarasan pelaksanaan insentif pengecualian cukai pendapatan dan permotongan cukai dua kali bagi aktitivi R&D kepada kerajaan untuk pertimbangan dan kelulusan pada suku kedua tahun ini,” tambahnya.

Selain itu, MESTECC turut menempatkan penyelidiknya di industri berkaitan melalui program Researcher-Industry Scientific Exchange (RISE).

Program ini juga akan diperluas ke agensi-agensi Kerajaan yang lain untuk meningkatkan penyelidikan yang memenuhi permintaan industri.