Malaysia Dateline

MT Umno banding UK sindir Parlimen digantung

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjelaskan pendekatan norma baharu sidang Parlimen di United Kingdom (UK) ketika persidangan Parlimen di negara ini digantung sejak Januari lalu.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, sidang Parlimen di UK tetap berjalan seperti biasa secara hibrid.

“50 orang dalam dewan selebihnya dalam talian. Mengundi pun pada mulanya juga dalam talian,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Bekas Ahli Parlimen Kemaman berkenaan berkata, langkah mengundi secara fizikal dalam Parlimen dilakukan kembali selepas Jun tahun lalu.

“Tidak berada di tempat duduk, tapi beratur untuk catatkan pendirian mereka.

“Ada ahli (Parlimen) yang bantah kerana untuk 650 ahli Parlimen datang mengundi, terpaksa beratur panjang kerana penjarakan. Ini mengambil masa.

“Jawab PM Boris Johnson, “musim sekarang orang shopping di supermarket pun sanggup beratur panjang!” tulisnya memetik kenyataan pemimpin Parti Konservatif yang memerintah Britain itu.

Sehubungan itu, Shabery yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu merumuskan perbezaan antara kerajaan UK dan negara ini.

“Kerajaan UK tetap menang dalam pengundian itu. Kerajaan Malaysia sedang mengkaji,” tambahnya lagi.