Malaysia Dateline

MT Umno tanya baki duit dalam akaun KWAN

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bertanyakan berapa baki wang dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu mengingatkan agar dana hasil daripada Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas itu tidak habis.

“Sebelum ini ramai yang tidak tahu wujudnya Tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).
Ada pula yang keliru antara KWAN dengan KWAP.

“Ada rakyat hanya sedar tentang KWAN bila kerajaan mewartakan ordinan darurat untuk ambil RM16.7 Bilion bagi tujuan vaksinasi kebangsaan.

“Justeru, rakyat ingin tahu berapa sebenarnya baki duit dalam akaun KWAN.

“Kalau KWAN untuk tujuan di saat genting dan terakhir jangan nanti di saat sesak duit dalam KWAN memang sudah kosong,” sindirnya.

Pada 21 April lalu, Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) diwartakan yang membolehkan kerajaan menggunakan dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Sebelum itu, kerajaan pada 31 Mac lalu mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021 yang mana Perdana Menteri (PM), Ketua Menteri (KM) atau Menteri Besar (MB) diberi kuasa meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Ini bermakna ketua kerajaan dan ketua kerajaan negeri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan wakil rakyat.