MT Umno terdesak, kes Muhyiddin patut dibawa ke jawatankuasa disiplin

MT Umno terdesak, kes Muhyiddin patut dibawa ke jawatankuasa disiplin

Kes disiplin membabit Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya dibawa ke jawatankuasa disiplin parti sebelum diserahkan kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT Umno), kata Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman.

Bagaimanapun Abdul Aziz mengakui MT Umno mempunyai bidang kuasa yang luas dan penggantungan Muhyiddin dibuat kerana ianya ‘perkara mendesak’ dan perlu disegerakan.

Beliau berkata, jika tindak-tanduk Muhyiddin disifatkan bercanggah dengan struktur perlembagaan dan displin ahli terhadap parti, perkara itu boleh diperdebatkan kedua pihak.

“Perlu ada laporan untuk dibawa ke peringkat jawatan kuasa disiplin terlebih dahulu sebelum dibawa kepada ahli MT.

“Dalam hal ini mungkin MT terdesak dan nak buat cepat kerana melihat kepada tindak tanduk Muhyiddin kebelakangan ini menyerang Presiden,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa ada kemungkinan Muhyiddin boleh merayu untuk membela diri bagi mempertahankan jawatannya.

“Kena lihat juga apa peraturan yang ada dalam perlembagaan parti itu yang boleh memihak kepada isu membabitkan Muhyiddin,” ujarnya lagi.

Beliau yakin keputusan menggantung jawatan Muhyiddin tidak dibuat dengan mudah oleh MT Umno.

MT Umno, katanya mungkin berada dalam keadaan ‘terdesak’ untuk membuat keputusan drastik tanpa perlu Muhyiddin diberikan ruang mempertahankan diri.

Usul untuk memecat Muhyiddin sebelum ini telah dicadangkan secara terbuka oleh Datuk Seri Nazri Aziz dengan sokongan beberapa ahli MT.

Ia kemudian dibawa ke mesyuarat MT Umno semalam.

Nazri dalam kenyataan yang dipetik media mengusulkan Muhyiddin dipecat daripada parti berikutan tindakannya mempertikaikan pelbagai perkara berkaitan presiden parti dan kerajaan secara terbuka.

TAGS