MTEM hargai keputusan kerajaan letak Mara di bawah satu kementerian

MTEM hargai keputusan kerajaan letak Mara di bawah satu kementerian

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) amat menghargai keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meletakkan keseluruhan agensi Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang kini dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Ahmad Yazid Othman berkata, langkah itu dilihat selari dengan gesaan MTEM sebelum ini supaya Mara terus ditadbir dalam satu Kementerian sahaja.

“Dengan keputusan kerajaan itu menepis spekulasi yang di utarakan oleh beberapa pemimpin politik.

“Pada pandangan MTEM, keberadaan Mara di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) oleh Kerajaan terdahulu dilihat hanyamelahirkan persepsi bahawa Mara hanya bertanggungjawab ke atas pembangunan ekonomi Bumiputera di sektor luar bandar sahaja.

“MTEM yakin bahawa langkah meletakkan Mara di di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin dan sokongan kewangan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bukan sahaja dapat mengekalkan fungsi sebenar Mara malah ia dapat diurus tadbir dengan lebih telus di samping mencapai sasaran melahirkan Bumiputera yang berdaya saing,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

MTEM adalah sebuah payung organisasi yang mewakili lebih 50 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu diperingkat Nasional.

Terdapat kira- kira 120 organisasi NGO ekonomi Melayu di peringkat negeri turut berada di bawah payung MTEM.

Platform Nasional yang ditubuhkan ini merupakan antara yang pertama seumpamanya di Malaysia dan turut mewakili lebih 500,000 perniagaan Melayu.

Justeru MTEM turut menyeru supaya keseluruhan agensi berkepentingan Bumiputera dapat diperkasakan dan di letakkan di bawah satu Kementerian.

“Langkah ini dilihat lebih sesuai untuk Kerajaan meneruskan inisiatif meningkatkan agenda Bumiputera di masa hadapan,” ujarnya.

Sebelum ini, isu berkaitan Mara hangat diperkatakan apabila pemimpin Umno mendakwa kerajaan PH akan asingkan kepada beberapa kementerian.

Spekulasi Mara akan ‘dibahagi-bahagikan’ membabitkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Pada 23 Julai Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Mohd Yusof memaklumkan secara peribadi beliau mahu Mara diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan walaupun agensi itu kini di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan turut mengingatkan bahawa Mara pernah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum dibubarkan pada 2009.

semalam Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamad Azmin Ali berkata,Mara tidak akan dipecahkan, sebaliknya ia diletakkan di bawah Kementeriannya.

Keputusan itu ialah sebahagian daripada langkah reformasi secara keseluruhan dan Mara yang ditubuhkan pada 1956 itu akan tetap dipertahankan kerajaan PH.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote