Malaysia Dateline

MTEM mahu kerajaan bentang Akta Sabotaj Ekonomi segera

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendesak kerajaan membentangkan Akta Sabotaj Ekonomi semasa persidangan parlimen akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Yazid Othman berkata, jentera parti sememangnya memerlukan kaedah untuk membolehkan mereka memberi perkhidmatan di peringkat akar umbi dan tidak sepatutnya untuk mengayakan diri dan keluarga.

“Mekanisme pendanaan politik diperlukan untuk menggerakkan jentera parti namun harus diadakan secara telus dan bebas dari elemen korupsi dan budaya politik naungan selaras dengan komitmenPakatan Harapan dalam manifesto mereka.

“MTEM benar-benar berharap Akta Sabotaj Ekonomi dapat dibentangkan dengan secepat mungkin agar hanya usahawan Bumiputera yang tulen dan layak sahaja mendapat kontrak kerajaan tanpa mengambil kira jawatan-jawatan politik mereka.

“Jika tidak, perkembangan ekonomi Bumiputera akan kekal lesu dan keadaan politik negara pula akan terus bergolak akibat
kekecewaan seluruh rakyat khususnya pengundi Bumiputera,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas pendirian Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengecam pendapat beberapa pihak yang ingin meneruskan amalan pemberian kontrak secara terus kepada mereka yang berjawatan.

Katanya lagi, MTEM berpendapat ini adalah budaya politik naungan (political patronage) yang telah diamalkan oleh parti-parti politik di Malaysia.

“Ia sering dikaitkan dengan Umno dan Barisan Nasional. Gejala politik naungan yang berleluasa dan diamalkan dari pimpinan tertinggi dan merebak ke akar umbi parti yang menjadi kritikan ramai pihak khususnya Orang Melayu khususnya anak muda kerana ia menggalakkan politik wang,” ujarnya.

Katanya lagi, pihaknya tidak ingin dasar-dasar kerajaan yang proBumiputera terutamanya pemberian kontrak kerajaan kekal disalahguna Bumiputera yang tidak layak.

“MTEM ingin menekankan bahawa Akta Sabotaj Ekonomi adalah satu cadangan penting yang telah dibentangkan oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed semasa Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 yang lalu dan juga dikemukakan di dalam laporan Institut Masa Depan Malaysia yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti BERSATU di PICC tahun lalu.

“Masalah politik naungan juga melibatkan isu pendanaan politik kerana antara sebab politik naungan diamalkan adalah untuk mengumpul dana yang diperlukan untuk memberi ganjaran kepada ahli-ahli dan penyokong yang “bekerja keras” untuk memastikan kemenangan semasa
pilihanraya.

“Namun demikian, perbahasan ini menandakan isu pendanaan politik perlu perhatian khusus kerana politik negara akan sentiasa dipengaruhi oleh mereka yang mempunyai modal yang besar
baik daripada institusi kerajaan mahupun swasta untuk agenda mereka yang tersendiri,” ujarnya.