MTEM sarankan kerajaan jangan terburu-buru sertai RCEP

MTEM sarankan kerajaan jangan terburu-buru sertai RCEP

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyarankan kepada pihak kerajaan supaya tidak terburu-buru menyertai perjanjian perdagangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kerana ia akan memberi kesan kepada lapisan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan diingatkan agar memberi perhatian terhadap isi kandungan perjanjian perdagangan bebas itu dan juga kesannya terhadap rakyat di negara ini.

Katanya, pihaknya turut menzahirkan kebimbangan bahawa kebanyakan kementerian tidak memahami kesan terhadap maklum balas yang diberikan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Contohnya kita khuatir dan tertanya-tanya adakah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedar mengenai maklum balas yang telah diberikan dari segi privasi data peribadi.

“Kita khuatir dan tertanya-tanya apakah maklum balas daripada segi e-perdagangan ekonomi digital yang telah diberikan oleh pihak MITI.

“Kami juga bimbang adakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedar mengenai input yang telah diberikan. Bagaimana ia akan memberi kesan kepada berjuta juta rakyat yang akan merana sekiranya ubat-ubatan tertentu diberikan ruang yang luar biasa kepada badan korporat untuk menaikkan harga dengan sesuka hati.

“Jadi, kita tidak perlu terburu-buru dalam menyertai RCEP ini kerana khuatir terburu-buru kali ini lebih terburu-buru daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA),” katanya dalam sidang media berkaitan isu ini di Pejabat Berdaftar Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), hari ini.

Lebih 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah perjanjian perdagangan itu berikutan ia akan memberi kesan kepada rakyat di negara ini.

Dalam pada itu, Yazid turut mempersoalkan faedah yang akan diperolehi oleh rakyat Malaysia kerana semua itu tidak dijelaskan oleh pihak berkaitan.

“Kami tidak ada cukup maklumat untuk mengenal pasti apa yang telah dipersetujui dan banyak soalan yang kami nak tanya kepada kerajaan. Apa yang sebenarnya telah ditawarkan, dan apa yang kita dapat? Itu tak jelas.

“RCEP ini akan mengongkong dan mengekang cara kita untuk mentadbir eknonomi dalam masa 10 tahun akan datang. Kami meminta pihak kerajaan supaya memperhalusi semula perjanjian perdagangan tersebut.

“Ini kerana ia akan kesan yang cukup luar biasa untuk semua kelompok masyarakat di negara kita. Saya menyarankan kepada kerajaan bukan sahaja MITI, tetapi setiap kementerian bertanggungjawab dalam perkara ini, kerana apa sahaja keputusannya, akan memberi kesan bukan sahaja kepada masyarakat hari ini, malah generasi akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Belanjawan 2020 dari konteks pengukuhan ekonomi, Yazid mengharapkan kerajaan akan berbelanja dengan lebih bijak sekali gus merancakkan keadaan ekonomi negara.