Malaysia Dateline

MTUC Sarawak bidas kerajaan benarkan pencarum keluarkan KWSP

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak membidas tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membenarkan pencarum mengeluarkan RM500 sebulan dari Akaun 2, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini kerana menurut Setiausahanya, Andrew Low, ia menunjukkan kerajaan kekurangan dana dan seterusnya mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan beban kewangan rakyat kesan COVID-19.

Beliau menegaskan, tindakan kerajaan yang membenarkan pencarum untuk membuat pengeluaran i-Lestari bermula 1 April 2020 tidak boleh dikira sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu rakyat kerana wang berkenaan merupakan hasil titik peluh pekerja itu sendiri.

“Keputusan berkenaan tidak menunjukkan ciri-ciri kepimpinan baik dan merupakan hasil daripada pengurusan ekonomi yang tidak cekap.

“Pada masa kritikal ini, dasar fiskal yang berani dan kepimpinan yang baik amat diperlukan, bukannya mengambil tindakan melulu sebegitu,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Andrew menjelaskan, hampir 33 peratus daripada pencarum yamg aktif mempunyai kurang daripada RM6,000 dalam akaun dua mereka setakat Disember pada 2018.

Tambahnya lagi, 28% pula mempunyai simpanan simpanan kurang daripada RM10,000 dan kebanyakan golongan B40 jatuh dalam kategori ini.

“Justeru, MTUC Sarawak menasihatkan semua pencarum untuk mengekalkan kadar caruman bulanan dan tidak membuat sebarang pengeluaran dalam menghadapi Covid-19 ini.

“Pencarum harus bersedia dan beringat bahawa tiada siapa akan menjaga mereka apabila mereka berusia nanti,” katanya.