Malaysia Dateline

Muafakat “budak baik” dengan Umno mungkin lebih awal bercempera

Tiada seorang pun calon Pas terpilih untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) mahupun Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah meskipun parti itu mohon dipertimbangkan 10 kerusi Dun.

Lebih mengejutkan apabila pemimpin Pas juga tidak diundang menghadiri majlis pengumuman calon PN-BN, membayangkan ia bagaikan liabiliti kepada kempen pembangkang untuk merebut Sabah daripada Warisan.

Satu tamparan hebat yang mengejutkan lagi memalukan. Hinggakan sekutu rapat yang diakui presidennya Abdul Hadi Awang, sebagai tidak dapat dipisahkan dengan Pas, iaitu Umno dan Bersatu, pun tidak bersedia memberi laluan sekurang-kurangnya satu daripada 73 kerusi Dun Sabah.

Mudah difahami reaksi spontan penyokong dan pemimpin Pas yang ternyata kecewa-marah dengan layanan yang meminggirkan parti berpengalaman itu. Pelbagai luahan, yang mencerminkan rasa tidak puas dan geram, dirakamkan dalam media sosial, sesetengahnya dengan nada sindiran pedas dan kemudiannya lantang disuarakan di Muktamar Pas.

Sepanjang turut bersama dalam kerajaan tebuk atap sejak Mac 2020, Pas cuba mempamerkan imej “budak baik” di tengah-tengah pertelingkahan di antara Bersatu dan Umno.

Pas dilihat “bermain dalam dua kolam” sekali gus, menzahirkan keinginan besarnya untuk menumpang PN mahupun Muafakat Nasional (MN), juga BN. Sikap politik Pas itu menyebabkan ia turut dicurigai sekutunya sendiri; Pas dianggap oportunis yang lebih memikirkan kepentingannya semata-mata dan sanggup meminggirkan prinsip perjuangan dan setiakawan.

Dalam konteks PRN Sabah, Pas bukannya pendatang baharu. Ia ditubuhkan seawal pembentukan Malaysia pada 1963.

Melalui liku-liku yang merencatkan perkembangannya di Sabah, Pas diaktifkan semula pada 1986, banyak didorong oleh pentadbiran negeri yang dikuasai PBS, parti pemerintah yang dilihat mempromosi Kristianisasi. (Kini PBS adalah sekutu baru Pas).

Maknanya, Pas Sabah sudah bergerak aktif selama lebih kurang 35 tahun, usia yang mencerminkan kematangan dan gaya dengan pengalaman.

Lebih tragis apabila kerusi yang diidam Pas yang majoriti pengundinya Muslim, boleh diperuntukkan kepada MCA dan turut ditandingi PBS. Tambah pedih, apabila Pas langsung tidak diundang ke majlis pengumuman calon koalisi parti yang disertainya.

Pas seolah-olah dianggap bebanan oleh sekutu-sekutunya dan perlu dihindari daripada terbabit sama dalam kempen. Ada penganalisis melihat “keceluparan” pemimpin Pas dalam isu-isu agama yang menyentuh sensitiviti penduduk tempatan sebagai faktor penolak itu.

Kenyataan “lepas geram” pemimpin tertentu Pas untuk bertanding semua kerusi Parlimen empat negeri majoriti Melayu — Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis — membayangkan kemarahan berkaitan PRN Sabah ini tidak mudah diredakan. Proses rundingan kerusi termasuk Dun negeri-negeri majoriti Melayu itu sendiri dilihat akan menemui jalan sukar.

Mungkin di Kelantan, Umno boleh mengalah tetapi situasi di Terengganu dan Kedah jauh berbeda, (apatah lagi Perlis ). Kecuali PRU 2018, Umno di sana lebih dominan dan berpengaruh berbanding Pas.

Itu pun atas faktor Najib Razak yang meruntuhkan Umno. Lagi pula, watak ketua Umno di Terengganu dan Perlis dikenali ramai, sanggup berbuat apa sahaja untuk mempertahan maruah Umno negeri.

Rakuskan kuasa

Malah, dijangka pendirian politik Pas dalam tempoh mendatang, bakal nencetuskan lebih banyak kontroversi terhadap imej kerajaan pintu belakang yang disertainya. Pengakuan Hadi bahawa Pas merupakan dalang utama yang meruntuhkan kerajaan mandat rakyat Februari lalu tambah memudarkan lagi imej Pas.

Ia dilihat oportunis yang rakuskan kuasa. Penjelasan yang dibuat, misalnya terhadap isu-isu berkaitan menteri Pas tidak mematuhi SOP kuarantin Covid-19 juga semakin meningkatkan kemarahan rakyat.

“Saya tidak boleh bayangkan jika Hadi duduk dalam Kabinet Muhyiddin, apatah lagi jika dilantik menteri agama, tentu lebih banyak kontroversi dan kekalutan yang terpaksa dihadapi kerajaan. Jadi, tepatlah langkah tidak memasukkan Hadi dalam jemaah menteri,” kata seorang penganalisis politik.

Kita tidak perlu menunggu masa lebih lama untuk menyaksikan pertarungan sengit dalam gabungan rapuh itu. Karenah Pas yang cuba disembunyikan sekarang ini akan menyerlah juga, khususnya apabila tiba musim rundingan kerusi nanti. Muafakatnya bersama Umno mungkin lebih awal runtuh atau bercempera. Tunggulah ….