Muafakat perjelaskan laporan berita ritual agama berlebihan jejas prestasi pelajar MRSM

Muafakat perjelaskan laporan berita ritual agama berlebihan jejas prestasi pelajar MRSM

Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (Muafakat) hari ini tampil menjelaskan keluhan ibu bapa yang mendakwa ritual agama berlebihan jejas prestasi pelajar seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan, Selasa lalu.

Dalam dakwaan pertama, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dipetik sebagai terlalu mementingkan amalan-amalan agama yang mengganggu pelajaran.

Kegiatan-kegiatan itu memakan terlalu banyak masa dan tenaga sehingga pelajar jadi letih dan lesu di kelas atau masa mengulangkaji pelajaran.

Pelajar diminta menghadiri sesi wajib solat berjemaah, serta ritual tidak wajib seperti solat tahajud, solat hajat dan tazkirah, di mana mereka perlu bangun seawal 3 pagi.

Muafakat dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, sepanjang pengetahuan dan pengalaman pihaknya, solat berjemaah yang diwajibkan di MRSM hanyalah solat Subuh, Maghrib dan Isyak sahaja.

“Manakala tazkirah pula diadakan antara waktu selepas solat Maghrib dan sebelum solat Isyak sahaja.

“Pengisian tazkirah pula bukan sahaja berkisarkan kepada keagamaan bahkan juga sesi motivasi, penerangan dan dialog bersama penceramah jemputan (termasuk Ibu Bapa dan Pentadbir MRSM itu sendiri).

“Selepas solat Isyak, pelajar MRSM menghadiri kelas ulangkaji pelajaran (9 -11 malam, menurut ketetetapan MRSM masing-masing). Solat tahajud dan hajat pula bukanlah rutin harian pelajar MRSM,” jelas Muafakat, hari ini.

Untuk dakwaan kedua, MRSM dipetik sebagai obsesi terhadap kuasa ghaib sehinggakan seorang pelajar perempuannya diminta hadir ke sesi mengusir makhluk halus kerana dia tidak dapat menyertai kelas bacaan al-Quran kerana menghadiri kelas tambahan Biologi.

Bahkan pelajar perempuan tersebut dituduh malas mengaji dan didakwa ada gangguan jin sehingga diruqyah ustaz tersebut.

“Sepanjang pengetahuan dan pengalaman kami, perkara yang didakwa itu sekiranya benar berlaku, adalah kejadian terpencil dan tidak mewakili semua MRSM. Setiap MRSM mempunyai Muafakat selaku badan yang mewakili Ibu Bapa dan Guru,” katanya lagi.

Manakala, dakwaan ketiga pula MRSM dikatakan mengenakan bayaran tambahan RM 200 untuk Kelas Talaqqi yang didakwa wajib.

“Sepanjang pengetahuan dan pengalaman kami, Bahagian Pendidikan Menengah MARA selaku Penyelia MRSM Se Malaysia, tidak pernah mengeluarkan arahan pembayaran untuk Kelas Talaqqi / Mini Ulu Albab.

“Perkara yang didakwa ini, sekiranya benar berlaku, adalah kejadian terpencil dan tidak mewakili semua MRSM. Sekali lagi ditekankan bahawa setiap MRSM mempunyai Muafakat selaku badan yang mewakili Ibu Bapa dan Guru,” jelasnya.

Dakwaan terakhir pula, MRSM dikatakan mengenakan peraturan bahawa pelajar perempuan perlu memakai seluar panjang bawah kain baju kurung sekolah, kemeja T labuh ketika bersukan dan sarung tangan bagi mengelakkan pelajar lelaki melihat susuk tubuh pelajar perempuan.

“Sepanjang pengetahuan dan pengalaman kami, semua peraturan MRSM berkaitan cara berpakaian, kemasan rupa diri, hal ehwal disiplin dan sebagainya diterbitkan dalam Buku Perancangan Tahunan Pelajar.

“Cara berpakaian pula memadai memenuhi kesopanan dan kesusilaan, maka tidak benar bahawa MRSM cuba berlebih-lebihan dan mengajar pelajarnya cara untuk berpakaian bagi maksud kesopanan dan kesusilaan.

“Semoga penjelasan kami yang dibuat tanpa prejudis, secara objektif, berlandaskan fakta dan pengetahuan kami selaku Pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru MRSM (Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia @Muafakat), dan melalui pengalaman sebagai Ibu Bapa MRSM dapat meneutralkan salah faham dan kekeliruan yang timbul,” ujarnya lagi.

Pada Selasa,  sebuah portal media melaporkan  ibu bapa dan ahli keluarga murid yang belajar di sekolah berasrama kerajaan bereputasi mempersoalkan apa yang dilihat seperti terlalu mementingkan amalan-amalan agama yang mengganggu pelajaran.

Ramai mendapati amalan ritual dan aktiviti keagamaan mencapai suatu tahap yang memberi kesan kepada prestasi akademik.

Kegiatan-kegiatan itu memakan terlalu banyak masa dan tenaga pelajar sehingga mereka jadi letih dan lesu di kelas atau masa mengulangkaji pelajaran.

FMT yang memetik sumber itu berkata  lebih-lebih lagi bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Tingkatan 3 dan 5.

Mereka berkata pelajar diminta menghadiri sesi wajib solat berjemaah, serta ritual tidak wajib seperti solat tahajud, solat hajat, dan tazkirah, di mana mereka perlu bangun seawal 3 pagi.