Malaysia Dateline

Muafakat PH lebih baik dari ‘kerajaan tanpa parti’

Malaysia tidak memerlukan pentadbiran ‘kerajaan tanpa parti’ yang telah dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sekalipun dengan niat yang baik, tegas Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, bentuk ‘kerajaan tanpa parti’ hanya diperlukan ketika krisis nasional yang kritikal seperti Britain yang pernah memiliki gabungan semua parti politik atau “Kerajaan Kebangsaan” semasa Perang Dunia Pertama, kemelesetan besar ekonomi dan Perang Dunia Kedua.

“Kita boleh berhujah bahawa Malaysia sedang menghadapi ‘krisis’, dengan wabak Covid-19 di peringkat global dan pertumbuhan ekonomi yang lemah.

“Walaupun krisis ini turut dirasai di peringkat global, tiada negara lain di dunia telah memilih untuk menghadapi cabaran ini dengan menguburkan demokrasi dan amalan politik mereka dengan menyerahkan kuasa kepada seorang pemimpin yang berkuasa mutlak,” hujahnya.

Beliau menjelaskan terdapat tiga pilihan yang dibuat oleh Ahli-Ahli Parlimen di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu Anwar sebagai Perdana Menteri (PM), Dr Mahathir sebagai PM atau pembubaran Parlimen.

“Tidak wujud kesepakatan dalam kalangan semua Ahli Parlimen dan saya bercaya pilihan dengan blok sokongan terbesar – Anwar – wajar dipertimbangkan,” ujarnya.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata Dr Mahathir sering menjadikan Jepun sebagai contoh tetapi pasca Perang Dunia Kedua, negara itu tidak pernah mengambil jalan yang dicadangkan olehnya apalagi menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada seseorang tanpa semak dan imbang.

“Krisis utama yang dihadapi Malaysia pada masa ini adalah dicipta oleh ‘pengkhianat’ dalam Langkah Sheraton.

“Mereka menolak muafakat dan manifesto Pakatan Harapan. Tiada keperluan mendesak untuk satu ‘kerajaan tanpa parti’. Malah, manfaat daripada bentuk kerajaan ini juga boleh dipersoalkan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan proses Perlembagaan negara sebagai langkah menyelesaikan masalah berkaitan peralihan kuasa PM ini.

“Mengetepikan ‘politik’ tidak akan membantu meningkatkan ekonomi kita atau memadam rasa prejudis antara kaum yang berbeza di negara kita,” tambahnya.