Muat naik gambar untuk elak fitnah, wanita harap netizen berhenti kecam bekas suami dan isteri baru

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular sebelum ini mengenai seorang wanita bercerai selepas penat lelah menjaga suami yang pernah terlantar sakit selama lima tahun.

Kes tersebut tular selepas wanita itu memuat naik gambar bekas suami dan isteri barunya bersanding untuk mengucapkan tahniah selain menjawab persoalan yang timbul.

Tidak menyangka hal tersebut ‘viral’ hingga ramai mencari akaun peribadi bekas suami dan isteri barunya, wanita itu akhirnya tampil membuat permohonan maaf.

“Pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada semua terutama, bekas suami, isteri dan keluarga isterinya disebabkan hantaran yang tular.

“Tujuan saya memuat naik gambar tersebut adalah kerana saya sudah dapat banyak mesej mengenai perkahwinan tersebut.

“Jadi hantaran tersebut bukanlah untuk membuka aib atau menyindir tetapi untuk mengelak daripada fitnah selepas disoal banyak rakan terdekat.

“Saya dah tahu mengenai perkahwinan tersebut sejak bulan tujuh (Julai) dan kami berdua bersetuju untuk berpisah secara baik,” ujarnya dalam video yang sudah dipadam.

Pada masa sama dia menjelas tiada unsur pergaduhan berlaku sepanjang perkahwinan dengan bekas suami dan menjalankan tanggungjawab sebagai ayah dengan baik.

“Saya mohon semua hentikan segala kecaman dan izinkan kami meneruskan kehidupan masing-masing dan kami juga memilih jalan damai.

“Berhenti ‘stalk’ akaun bekas suami dan isteri barunya sebab sehingga kini masih ramai yang memberi kata-kata yang tak enak didengar,” tambahnya.

Bagaimanapun hasil carian di Facebook wanita terbabit mendapati video tersebut telah dipadam namun sudah ada yang memuat naik ia di media sosial lain.

Rata-rata netizen bagaimanapun tidak berpuas hati dengan permohonan maaf tersebut dan menyatakan dia tidak perlu minta maaf atas kesalahan orang lain.

“Ya Allah kesiannya akak ni. Bekas suami dia yg kawin lain dia pulak kena minta maaf. Ya Allah berikanlah akak ni kesabaran, kekuatan dan kebahagian.

“Lagi kau minta maaf, lagi orang kutuk bekas suami kau. Yang patut minta maaf dia dengan isteri baru tu.

“Dia dikhianati tapi dia yang kena minta maaf, semoga kuat,” antara komen netizen.

Baca juga: Datuk Vida hantar Cik B belajar di Sepanyol, rela sewa rumah cecah setengah juta untuk 3 bulan