Wanita dikecam lepas muat naik video ziarah kubur Kristian, terpaksa tampil buat penjelasan

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita menjadi sasaran kecaman orang ramai baru-baru ini selepas memuat naik satu rakaman ketika menziarahi tanah perkuburan Kristian di Lahad Datu, Sabah.

Hal ini membuatkan wanita beragama Islam yang dikenali sebagai Miss Nena itu terpaksa tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berhubung rakaman tersebut.

Menurut Miss Nena, kehadirannya ke tanah perkuburan itu adalah bertujuan untuk menziarahi pusara mendiang neneknya yang menganut agama Kristian selain memenuhi permintaan ibunya.

Ibu Miss Nena memintanya untuk mewakili keluarga bagi melawat kubur neneknya dan menyalakan beberapa lilin serta meninggalkan bunga bertepatan dengan ‘All Souls Day’ iaitu Hari Para Mendiang.

Wanita terbabit turut menegaskan bahawa dirinya tidak melakukan sebarang upacara pelik ketika hari kejadian sebaliknya hanya menyalakan lilin bagi menghormati permintaan ibunya.

“Masa saya melawat ke kubur itu, sebenarnya ada orang Islam lain yang juga bertudung datang menziarahi pusara saudara mara atau datuk dan nenek mereka. Saya juga dipesan oleh ibu.

“Ibu saya ada bermimpi nenek dan merinduinya. Oleh sebab itu, saya diminta ke sana untuk melawat (pusara nenek). Beli sedikit lilin dan bunga,” katanya di dalam perkongsian tersebut.

Miss Nena juga mengakui meskipun perkara itu mungkin agak sensitif di Semenanjung Malaysia, namun ia adalah satu permandangan yang biasa bagi penduduk di Sabah dan Sarawak.

Wanita itu bagaimanapun mengakui kesilapan di dalam tindakannya menyalakan lilin kerana kekurangan ilmunya mengenai perkara tersebut namun terbuka menerima teguran dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Sekadar info, umat Islam dibolehkan untuk berkunjung ke kubur dan menghadiri pengebumian ahli keluarga atau sahabat-sahabat yang tidak memeluk Islam dan tidak memusuhi Islam malah tiada larangan padanya.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Qiyas al-aula bagi perkara ini adalah jika memandi, mengkafankan dan mengebumikan jenazah bukan Muslim dibolehkan oleh syarak maka sekadar hadir ke majlis pengebumian bukan Muslim semestinya tidak menjadi satu kesalahan.

Namun begitu, hendaklah dihindari daripada melibatkan diri dengan upacara keagamaan malah masyarakat juga tidak disarankan untuk terburu-buru menghukum atau mengeluarkan pendapat yang boleh mengeruhkan keharmonian dan perpaduan masyarakat Malaysia.

Baca juga: Terpedaya dengan cek tendang, lelaki rugi RM140k jual 2 utas jam tangan berjenama