Muatnaik surat rentas negeri ‘kosong tetapi ada cop’, polis buka kertas siasatan

Oleh Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

Polis membuka satu kertas siasatan selepas mendakwa wujudnya salah guna dengan pemalsuan tandatangan dalam surat rentas negeri yang tersebar baru-baru ini.

Ia berikutan selepas orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati gara-gara tindakan seorang gadis memuatnaik borang permohonan rentas negeri yang kosong tetapi sudah mempunyai cop kebenaran polis beserta tandatangan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Hanyan Ramlan dalam kenyataannya berkata, siasatan awal mendapati tandatangan milik Ketua Polis balai Polis Chukai, Mohamad Ramizan Ramli telah digunakan untuk memberi kebenaran merentas negeri pada seorang wanita.

“Borang rentas negeri ini telah diberikan kepada seorang perempuan Melayu untuk merentas negeri ke Kuala Lumpur dengan tujuan menghadiri temuduga mendapatkan pekerjaan yang dijadualkan pada 8 April .

“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan (pemalsuan bagi maksud hendak menipu) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

 

Tular borang rentas negeri kosong tetapi sudah siap dengan cop polis

Semalam,tersebar di media sosial beberapa keping tangkap layar memaparkan borang rentas negeri kosong milik Balai Polis Chukai telah siap bertandatangan dan didapati ianya disalahguna oleh seorang wanita yang mengambil kesempatan melakukan aktiviti rentas negeri tanpa alasan kukuh.

“Orang macam ini lah sebenarnya punca perjalanan rentas negeri orang lain jadi susah sedangkan mereka betul-betul ada kes kecemasan atau perkara penting.

“Bila semakin banyak penipuan jangan salahkan pihak polis jika susah mereka nak bagi kebenaran keluar rentas negeri,” ciap pengguna Twitter @InjangNation yang turut menyertakan tangkap layar Instagram seorang gadis yang memaparkan satu borang kosong sudah mempunyai cop.

Pengguna itu berkata, gadis itu mendapat kemudahan ‘cop dahulu sebelum isi borang’ kerana ada antara ahli keluarganya merupakan bekas anggota polis.

Susulan ciapannya itu, orang ramai mengkritik tindakan gadis tersebut yang menganggap dia antara punca ramai antara mereka yang tidak dapat bergerak atas urusan keluarga yang lebih penting.

“Kalau nak dapatkan cop tu kena isi dulu la apa alasannya nak rentas ni. Borang kosong tiba-tiba dah ada cop? Memang orang akan fikir lain la,” kata pengguna Fikri

Ada juga berpendapat tindakan tersebut sama seperti selebriti, Neelofa yang baru-baru ini terpalit dengan kontroversi kerana secara selamba melanggar SOP larangan rentas negeri.

“Entah berapa banyak lagi borang yang dah dicop dulu dan disalah guna untuk rentas. Ni cable namanya,” kata seorang pengguna Twitter.

“Wow anak bekas anggota. Terpaling ‘privilege’ betul ye,” kata pengguna lain.

Ketika ini, kerajaan mengumumkan akan mengetatkan larangan rentas negeri bimbang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menggunakan peluang untuk berjumpa keluarga ketika bulan puasa.

Keputusan itu juga susulan pelanggaran demi pelanggaran SOP yang dilakukan beberapa pihak termasuk ‘instafamous’, selebriti dan juga ahli politik.