Malaysia Dateline

Muda dakwa kerajaan sengaja melewatkan proses undi 18

Kerajaan dilihat mahu melewat-melewatkan proses pelaksanaan umur layak mengundi 18 tahun ekoran kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia bahawa proses undi 18 tidak dapat diteruskan kerana ia masih perlu mendapatkan perkenan yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Dasar MUDA, Dr Teo Lee Ken berkata, ketidakjelasan dan ketidakpedulian kerajaan untuk mengambil tanggungjawab bagi penyelesaian isu pelaksanaan Undi 18 ini sebagai satu perkara yang sangat serius.

Katanya, kegagalan di pihak kerajaan menunjukkan pemimpinnya tidak mengambil langkah yang berkesan dan cekap untuk menyelesaikan isu Undi 18 ini.

“Ketiadaan agenda dan objektif yang jelas menyebabkan agensi dan jabatan di bawah seliaan mereka tidak dapat berjalan lancar untuk melaksanakan suatu dasar yang sudah diluluskan Parlimen.

“Di samping itu, timbul juga persoalan sekiranya kerajaan sebenarnya tidak ingin melaksanakan dan menguatkuasakan Undi 18.

“Oleh itu, prosesnya sengaja dilambatkan dan ditunda, dengan menjadikan agensi dan jabatan kerajaan sebagai penanggung beban, dan proses birokrasi sebagai alasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, bekas Timbalan SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar memaklumkan bahawa SPR tidak dapat meneruskan urusan memproses Undi 18 kerana ia masih di peringkat Jabatan Perdana Menteri dan perlu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu Teo berkata, ini jelas bertentangan dengan kenyataan Menteri Undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa pengurusan dan proses pelaksanaan Undi 18 terletak di pihak SPR dan bukannya kerajaan.

Beliau menegaskan agar kerajaan dan menteri terlibat menyatakan pendirian yang jelas, dan menjalankan urus tadbir yang tersusun.

Menurutnya, usaha untuk menggagalkan pelaksanaan Undi 18 dengan menggunakan alasan kekaburan birokrasi adalah tidak bertanggungjawab dan menunjukkan tiadanya kepimpinan dan kemahuan politik yang nyata.