Malaysia Dateline

Muda lancar manifesto PRN Johor dalam masa terdekat

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh terdekat.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipetik berkata demikian menerusi wawancara dengan Sinar Ahad hari ini.

Menurutnya, terdapat banyak teras yang dibincangkan dalam tawaran Muda sebagai sebuah parti yang ingin menumpukan kepada pembaharuan dan politik dasar.

Antaranya, kata bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu adalah mengenai isu pekerjaan dan penciptaan pekerjaan yang bermutu.

Turut menjadi keutamaan, jelasnya, ialah pembukaan sempadan dengan Singapura secara selamat tetapi secepat mungkin supaya ekonomi Johor kembali rancak.

Dalam masa sama, Syed Saddiq memberitahu isu alam sekitar dan tawaran perjanjian hijau baharu kepada rakyat juga dibincangkan.

Beliau berkata, Muda juga akan memberi fokus dalam isu insentif kepada pemain industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang teruk terkesan dengan wabak Covid-19.

“Ada banyak teras utama tetapi tawaran yang kita ingin ketengahkan itu datang daripada rakyat juga kerana Muda selepas ditubuhkan telah melakukan pelbagai jenis kempen mendengar.

“Bukan kita berceramah kepada rakyat tetapi kita mendengar keluh-kesah dan cadangan mereka, kita berjumpa pakar-pakar dan akhirnya satukan tawaran Muda untuk anak Johor,” katanya dipetik Sinar Ahad hari ini.