Semalam, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sudah pun sebulat suara bersetuju untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu parti komponen dalam blok pembangkang itu.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pun sudah menyatakan pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung hal itu.
Kata Ahli Parlimen Muar itu, perbincangan secara tidak rasmi bagi penyertaan Muda dalam PH telah berlangsung sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Namun, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dilapor berkata, PH masih belum membincangkan perkara berkaitan penyertaan Muda.
Presiden PKR itu bagaimanapun berkata, PH tiada masalah dalam soal kerjasama dan perbincangan dalam kalangan pembangkang.
Untuk rekod, selain PH, dua lagi gabungan besar di Semenanjung, ialah BN dan Perikatan Nasional (PN). Sebahagian daripada kerajaan hari ini adalah PN dengan partinya, Bersatu dan Pas memegang banyak negeri.
Dalam masa sama, pembangkang pula setakat hari ini masih dilihat ‘bersendirian’ dengan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memimpin Gerakan Tanah Air (GTA) manakala Warisan ingin masuk bertanding di kawasan Semenanjung.
Justeru, peralihan undi pada PRU-15 sukar untuk dijangkakan memandangakan wujud banyak persaingan daripada pelbagai gabungan.
Ikuti pandangan Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Kepala Batas, ABRAR SADIQ AZIZI berhubung pengumuman Muda berkait koalisi PH:
Gendang PRU-15 makin kuat kedengaran dek berlakunya ‘pembersihan’ parti Umno ketika ini. Parti keramat Melayu tunjang kepada gabungan Barisan Nasional (BN) seakan-akan berpecah kepada dua kluster.
Apa jua kluster Putrajaya atau kluster mahkamah, blok pembangkang perlu membiarkan musuh utamanya itu dengan perpecahan yang berlaku dengan fokus pada koalisi kita agar lebih berpadu.
Kita perlu muhasabah kembali, adakah perjuangan Pakatan Harapan (PH) kali ini mampu diberi kepercayaan semula oleh rakyat terbanyak pada PRU-15?
Mungkin kita boleh bergembira dengan permasalahan musuh tetapi tindakan tidak menambah rakan yang sealiran seakan beri kerugian kepada koalisi pembangkang.
Menjelang pesta mengundi akan datang sudah pasti parti baru seperti Muda dan Pejuang akan mencari ‘rumah’ yang menepati selera prinsip mereka.
Oleh yang demikian, persetujuan Muda untuk bersama dengan PH perlu disambut dengan jiwa yang merdeka.
Sementara itu, Pejuang walaupun bersama GTA namun mereka tetap pembangkang dan lawan kepada Umno-BN. Pendirian Muda perlu tegas agar kekal condong kepada PH bukan condong kepada gabungan yang lain.
Pimpinan PH sudah pasti dapat mempelajari sesuatu selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.
Kerjasama tidak rasmi dengan Muda pada awalnya dilihat cantik tersusun tetapi akibat berlaku sifat curiga satu sama lain telah merugikan banyak pihak.
Kali ini, Muda mesti lebih jelas pilihan mengenai kerusi dan calon mereka kerana perlu melibatkan parti komponen PH. Hal ini pastinya tidak mudah namun PH sentiasa bersedia secara terbuka untuk memenangi sebanyak mungkin undi orang muda.
AMANAH di Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang misalnya, sudah lama memulakan jalinan kerjasama bersama pimpinan Muda negeri memberi komitmen dalam beberapa program yang dianjurkan.
Sifat ini jelas kerana perjuangan Muda juga sama dalam menolak sikap bobrok kuasa Umno-BN. Jangkaan limpahan undi orang muda bakal terpalit sama ke parti komponen PH yang lain diharapkan bukan omongan kosong semata-mata.