Malaysia Dateline

Mudahkan proses terima bantuan di kawasan jika pengundi setempat, kata Cabang PKR

Saranan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya mereka yang menerima bantuan adalah mereka yang wajib mengundi di kawasan setempat adalah bagi memudahkan proses bantuan diberikan.

Malah tindakan tersebut dapat memberi peluang yang lebih baik dan adil kepada mereka yang layak dan sepatutnya menerima bantuan khususnya menjelang hari perayaan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh, ketika ditemui semasa menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan yang kurang berkemampuan dalam kawasan Bagan   pada Isnin.

Jelas beliau lagi, sebelum ini terdapat penerima sumbangan yang menjadikan aktiviti rutin mendapatkan bantuan kebajikan dari setiap kawasan Dun dan juga Parlimen yang berdekatan.

“Sebelum ini ramai yang menerima bantuan dari pihak Cabang dan juga Bahagian maupun Adun dan Ahli Parlimen.

“Namun begitu tidak ada saringan syarat hanya mereka yang menjadi pengundi dalam kawasan setempat sahaja yang layak.

“Sekiranya cadangan tersebut dapat diimplementasikan, ia akan memberi keadilan kepada semua pengundi dan mereka yang layak bagi sesuatu kawasan Dun maupun Parlimen, ” ujarnya.

Menurut Alan lagi, cadangan tersebut akan memberi peluang kepada lebih ramai penerima untuk menikmati kemudahan bantuan yang disediakan.

“Kita tidak dapat nafikan sebelum ini ada penerima dari kawasan Dun yang lain juga diberikan bantuan kebajikan.

“Begitu juga dengan mereka yang bukannya pengundi dalam kawasan setempat, tetapi turut menerima sumbangan bantuan tersebut dari beberapa kawasan yang berlainan.

“Secara tidak langsung kita mendidik dan mengajar masyarakat supaya lebih prihatin dan juga bertimbang rasa terhadap mereka yang seharusnya juga menerima sumbangan yang disediakan, ” tambah beliau lagi.

Sehubungan itu katanya, cadangan tersebut boleh dilaksanakan kerana ia banyak membawa manfaat kepada mereka yang layak menerima bantuan kebajikan samada di kawasan Dun maupun Parlimen tertentu.

“Kami pernah memberikan sumbangan kepada penerima dari kawasan Dun yang jauh dari sini dan bukan juga pengundi dalam kawasan Parlimen Bagan.

“Walau bagaimana pun atas dasar perikemanusiaan, sumbangan tetap diberikan juga kepada mereka yang memerlukan.

“Cumanya dengan kaedah setempat tersebut ia akan memberi keadilan kepada semua pihak termasuk penerima dan juga penyumbang, ” tegasnya lagi.