Permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menukar tarikh beliau dilepaskan untuk menziarahi anaknya di Singapura tidak disenangi oleh pelbagai pihak termasuk tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin.
“Mudahnya ihsan Mahkamah nak diubah-ubah. Apa jawatan dia dalam Umno?” tulis bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST itu menerusi Facebook beliau.
Sehubungan itu, beliau bertanya apa peranan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Mohamad Hasan dalam isu ini.
“Mohamad Hasan buat apa?” tanya Kadir dalam posting beliau itu.
Najib telah memohon kepada mahkamah untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan penyerahan pasportnya daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober kepada 6 Disember ini.
Menurut bekas perdana menteri itu, ini kerana dia telah ditugaskan untuk membantu jentera parti Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.
Najib berkata demikian dalam notis usul dan afidavit sokongan yang difailkan di mahkamah 21 Oktober kelmarin untuk menyokong permohonan pelepasan pasportnya sementara, yang diajukan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Najib, 68, selaku pemohon memfailkan notis usul itu semalam menerusi Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menamakan pendakwa raya selaku responden.
Isnin lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 20 Oktober hingga 22 November ini.
Ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan bakal melahirkan anak kedua pada November ini.
Namun, menerusi pindaan permohonan yang diajukan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib memohon tempoh pelepasan pasportnya merangkumi daripada 21 November sehingga 6 Disember. PRN Melaka ditetapkan pada 20 November.
Melalui afidavit bertarikh semalam, Najib berkata, susulan kebenaran Mahkamah Rayuan untuk melepaskan pasportnya sementara pada Isnin lalu, dia kemudian dimaklumkan bahawa tarikh penamaan calon dan pilihan raya Melaka masing-masing adalah pada 8 dan 20 November.
“Memandangkan Presiden Parti Umno Zahid Hamidi pada masa tersebut akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi tulang belakangnya, saya telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan bahawa parti Umno sewaktu pilihan raya kecil Melaka bertindak secara teratur dan dengan sewajarnya sementara ketiadaan Zahid Hamidi.
“Oleh yang demikian, saya terpaksa menangguhkan perjalanan saya ke Singapura sehingga selepas tamat pilihan raya kecil Melaka pada 20 November,” katanya.
Bagi Kadir, mahkamah telah memberikan kebenaran atas kasihan belas tetapi memohon untuk menukar tarikhnya atas alasan pilihan raya adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Mahkamah telah memberikan kebenaran atas nama kasihan belas. Tetapi kempen pilihan raya bukan alasannya,” kata Kadir.
Ekoran itulah, Kadir bertanya, “Mohamad Hasan buat apa” dan bertanya “Apa jawatan dia dalam Umno” kerana Najib bukan orang nombor dua dalam Umno.
Kepada seorang rakan beliau yang bertanya tentang Mohamad Hassan yang didakwanya tidak ada kuasa, Kadir berkata, “Tapi dia orang nombor dua dalam Umno. Pilihan perwakilan.
“Macam macam orang terhukum yang tak ada jawatan dalam MKT tiba-tiba lebih dipercayai oleh Presiden,” tanya Kadir ketika menjawab pertanyaan rakannya.
Bagi Kadir, alasan untuk melihat anak hendak bersalin dari awal lagi telah menghina minda rakyat.
“Alasan mereka daripada awal lagi menghina minda rakyat jelata,” kata Kadir merujuk alasan yang diberikan Najib untuk mendapatkan pasport antarabangsa beliau.