Mudarat bekerjasama dengan PN jauh lebih bahaya berbanding PH, kata Zahid

Oleh ARIF ATAN

Presiden Umno merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan memilih PH bagi membentuk kerajaan adalah selepas mengambil kira mudarat jauh lebih berbahaya apabila bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, BN tidak membuat keputusan sembrono sebaliknya bersandarkan dapatan analisis politik untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang.

Beliau menjelaskan perbincangan berhubung membuat keputusan membentuk kerajaan dilakukan dalam Dewan Tertinggi BN dan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

“Kita lihat daripada segi mudarat, mana lebih besar dengan PN atau dengan PH.

“Kami melakukan analisis bukan hanya analisis politik sekarang tetapi analisis politik untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang untuk tentukan mudarat mana yang kurang, yang boleh terus merelevankan Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara, “Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara?” malam tadi.

Untuk rekod, PH menang 82 kerusi pada PRU15 bulan lalu manakala BN 30 dan PN menguasai 74 kerusi.

Jelas Ahmad Zahid, keputusan MT Umno mengambil kira kawasan yang mempunyai kelompok pengundi Melayu atau disebut sebagai The Malay Belt.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, berbanding PH, bekerjasama dengan PN akan menyaksikan BN berebut kelompok pengundi sama dalam pilihan raya akan datang.

“Mereka (PN) menang 74 kerusi dan tentunya kita akan berperang di gelanggang yang sama.

“Di dalam PH, kita lihat dari segi analisis politik dan kita melakukan beberapa unjuran bahawa potensi besar untuk kita menang semula kawasan yang kita kurang undi dahulu boleh kita gali semula potensinya.

“Saya tidak riak, tidak takbur, tidak ujub tetapi saya fikir hal ini lebih baik kalau kita bersama dengan PH untuk survival, kesinambungan jangka panjang untuk Umno serta BN,” tambahnya lagi.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan termeterai melalui perjanjian persefahaman kerjasama di Putrajaya yang ditandatangani pada 16 Disember lalu.

Lima gabungan politik utama terlibat iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang juga Pengerusi PH itu meraih sokongan majoriti 148 Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 dalam usul percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu.

Sokongan kukuh itu melibatkan PH 82 kerusi Parlimen, BN 30, GPS 23, GRS 6, Warisan 3, KDM 1, PBM 1, serta Bebas 2 kerusi.

Baca juga 10 kejayaan DSAI selama sebulan. Mampukah anda menahan diri?