Mudir akui hanya pendaftaran sementara, ibu bapa akui sanggup ambil risiko

Mudir akui  hanya pendaftaran sementara, ibu bapa akui sanggup ambil risiko

Ustaz Hafizuddin Munir

Beberapa pengusaha maahad tahfiz dan ibu bapa pelajar berpendapat agar kerajaan dapat membantu institusi tahfiz di negara ini dari segi keperluan infrastruktur dan sistem pengurusan yang lebih baik di masa akan datang.

Ini susulan pelbagai isu yang timbul dan berulang berkaitan institusi tahfiz membabitkan tenaga pengajar, pelajar dan kewujudan banyak pusat atau maahad tahfiz swasta yang masih lagi tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),Jabatan Bomba atau  Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri.

Ustaz Hafizuddin Munir, Mudir  Pusat Tahfiz di Surau AU1 Keramat tidak menafikan wujudnya banyak pusat-pusat tahfiz yang tidak berdaftar dengan pihak berwajib.

Beliau berkata pusat tahfiz yang dikendalikannya itu juga, hanya memperoleh pendaftaran sementara di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Pusat tahfiz kami hanya dapat surat pendaftaran sementara daripada pihak Jais yang bertempoh setahun sebelum mereka mengeluarkan surat pendaftaran tetap (kelulusan) kepada kami,”katanya kepada Malaysia Dateline.

Di surau AU1 Keramat itu  dijadikan pusat tahfiz kepada 51 pelajar yang mengikuti pengajian dan 30 daripada pelajarnya tinggal di asrama.

“Kami hanya mengambil pelajar yang berasal dari Selangor kerana memudahkan urusan kami bersama ibu bapa pelajar.

“Di sini yuran dikenakan kepada pelajar untuk memberi kemudahan seperti kemudahan asas dan keselesaan kepada pelajar kami,”ujarnya

Surau AU1 Keramat dijadikan pusat pengajian tahfiz kepada 51 pelajar.

Namun, beliau menjelaskan walaupun mendapat surat pengesahan sementara daripada Jais tetapi pusat tahfiz itu juga masih belum mendapat kelulusan keselamatan daripada Jabatan Bomba.

“Apa yang saya fahami, jika surau ini layak untuk digunakan sebagai pusat tahfiz maka saya rasa secara automatiknya layak untuk diteruskan pengendaliannya di sini.

“Ini kerana kami menyediakan asrama, pengajaran dan pembelajaran tahfiz dilakukan di dalam surau ini,”ujarnya.

Beliau berharap agar Kerajaan sedia membantu kesemua pusat tahfiz daripada segi kemudahan asas kerana institusi pendidikan Islam ini ujarnya, adalah medan menuntut ilmu agama dan harus dikekalkan imej dan pengurusan yang terbaik, katanya.

Wakil Mudir dari Pusat Tahfiz di Ukay Bestari, Yusry Ali berkata, sejak tiga tahun beroperasi, pusat tahfiz itu masih tidak mendapat kelulusan dan masih dalam proses untuk mendapat pengesahan daripada Jais.

Yusry Ali

“Pusat ini ditubuhkan pada tahun 2015, dan kami menyewa rumah di sekitar kawasan ini untuk kelas dan asrama pelajar,” ujarnya.

Jelasnya terdapat 20 pelajar yang berdaftar di pusat tahfiz itu dan setakat ini tiada masalah bagi mereka kendalikan pusat tahfiz bekenaan.

“Dari segi pendapatan pusat tahfiz ini kami mengharapkan sumbangan ikhlas daripada orang ramai untuk keperluan asas dan juga usaha daripada guru kerana kami tidak mengenakan yuran pengajian kepada pelajar.

“Mengenai keselamatan pula, oleh kerana kami masih belum lagi mendapat surat kebenaran daripada Jais maka dengan pihak Bomba juga kami terpaksa menunggu,” katanya.

Ibu bapa sanggup ambil risiko demi pendidikan Islam

Baru-baru ini, media melaporkan, Kementerian Wilayah memberi tempoh sehingga 31 Disember ini kepada pusat-pusat tahfiz yang beroperasi di Kuala Lumpur untuk mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Bomba.

Menterinya, Khalid Abdul Samad dipetik berkata, kewajipan itu bagi memastikan pusat tahfiz menyediakan tahap keselamatan, kebajikan dan pembelajaran yang baik kepada pelajarnya.

(dari kiri) Jamil Hassan, Harlinawati Abu Bakar dan Zailani Karim.

Hasil daripada tinjauan dilakukan mendapati, ibu bapa tidak tahu sama ada sesebuah pusat tahfiz itu berdaftar atau tidak berdaftar walaupun menyedari risiko bakal dihadapi.

Seorang pekerja swasta, Harlinawati Abu Bakar berkata, beliau tidak tahu tentang status pusat tahfiz sama ada berdaftar atau tidak, di mana anaknya mendapatkan pendidikan Islam.

Beliau mengakui sedar dengan risiko keselamatan yang bakal dihadapi di pusat tahfiz berkenaan.

“Saya hantar anak untuk belajar agama, jikalau hendak dipersoalkan tentang risiko menghantar anak ke pusat tahfiz tidak berdaftar, ianya memamg membimbangkan namun saya tiada pilihan,” ujarnya.

Bagi kakitangan swasta, Jamil Hassan mempunyai pendapat yang berbeza berkenaan isu pusat tahfiz yang tidak berdaftar ini.

“Isu ini telah lama berlarutan cuma baharu sahaja mendapat perhatian media kerana beberapa pusat tahfiz yang bermasalah.

“Pada saya, selagi tahfiz berkenaan mampu untuk menjanjikan keselamatan kepada anak saya dan semua pelajarnya itu sudah cukup baik,” katanya.

Kakitangan Kerajaan, Zailani Karim berkata, beliau memohon agar isu ini segera diselesaikan tanpa ada sebarang masalah.

“Kami sebagai ibu bapa, pasti merasa bimbang tentang keselamatan anak-anak kami di pusat tahfiz yang kami tidak tahu statusnya sama ada berdaftar ataupun tidak,

“Niat kami untuk hantar anak belajar tentang Islam namun bila timbulnya isu sebegini ianya membimbangkan kami sebagai ibu bapa,”ujarnya.

Beliau berharap agar semua pusat tahfiz yang masih tidak berdaftar agar berdaftar segera kerana keselamatan pelajar dan guru harus diberikan keutamaan.

 

 

215 total views, 6 views today