Mufti Besar Bosnia mohon kerajaan terus bantu pelajarnya di Malaysia

Mufti Besar Bosnia mohon kerajaan terus bantu pelajarnya di Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, dalam kunjungan beliau ke Bosnia pada 26 September lalu sempena Sarajevo Halal Fest 2018 beliau berkesempatan mengunjungi Mufti Besar Bosnia, Sheikh Husein Kavazovic.

Kata beliau, banyak perkara dibincangkan dalam pertemuan berkenaan termasuk mengenai peralihan kuasa yang berlaku di Malaysia selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

“Dalam pertemuan itu juga kata beliau, Sheikh Husein turut berbesar hati sekiranya Malaysia dapat berkongsi pengalaman dalam pengurusan urusan Haji, stesen TV dan radio,” kata beliau dipetik melalui Facebook beliau.

Sheikh Hussein juga katanya turut berharap agar bantuan kepada Bosnia dapat diteruskan termasuk memberi bantuan kepada pelajarnya untuk mendalami dan mempelajari agama Islam di Malaysia.

Sebelum itu beliau telah beramah mesra dengan warga Malaysia di Bosnia di Kedutaan Malaysia serta menandatangani buku tetamu di kediaman Duta Besar Malaysia ke Bosnia.

Dr Mujahid juga turut sempat ditemu bual oleh stesen TV tempatan.

Sarajevo Halal Fest 2018 berlangsung selama tiga hari bermula 27 September lalu bertempat di Center Skenderija dan Dr Mujahid telah menyampaikan ucaptamanya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote