Mufti kata tak rujuk DAP ketika umum termasuk Perkasa tolak label kafir harbi

Mufti kata tak rujuk DAP ketika umum termasuk Perkasa tolak label kafir harbi

“Saya tidak merujuk istilah kafir harbi kepada DAP semata-mata, tetapi sesiapa sahaja yang menentang Islam. Itu yang saya maksudkan,” demikian kata Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Menurutnya, istilah itu tidak menyentuh mana-mana individu dalam DAP, sebaliknya ia berkaitan dengan pemikiran DAP itu sendiri.

“Saya tak sebut individu tetapi DAP itu ada pemikiran yang boleh disifatkan sebagai kafir harbi. Pemikiran mereka jelas cuba memerangi atau meracuni cara hidup Islam daripada ditegakkan. Ini yang kita tentang,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Katanya, DAP adalah satu dasar politik yang ditentukan dasar mengetahui perjuangan menentang Islam.

“Kita dapat lihat perjuangannya (DAP) yang membangkang (menolak) Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) Mahkamah Syariah ( Bidang Kuasa Jenayah) 2016 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan usul itu di sokong kerajaan Malaysia (Umno).

“Mereka (DAP) seolah-olah tidak bersetuju dengan kehendak orang Islam untuk meminda RUU tersebut. Bila DAP menentang Islam ini yang kita istilah kafir harbi,” katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Ahmad Shah di Sungai Isap Damai di sini, petang tadi.

Abdul Rahman memberitahu dia tidak akan bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini kerana perkara yang penting ialah meletakkan Islam di atas.

Katanya, Islam perlu dipertahankan dengan sebaiknya dan meletakkan agama itu di tempat yang tertinggi supaya ia tidak difitnahkan.

Selain itu, tambahnya, beliau bukan mahu berpolitik, sebaliknya berhak untuk mengeluarkan kenyataan demi kepentingan agama.

“Kita umat Islam kena faham kenapa dahulu tak ada ( kenyataan daripada ahli agama) tapi sekarang saya bangkitkan isu ini dan saya rasa ada sebab untuk saya bercakap dalam hal ini.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman“Masyarakat kena faham, saya bukan bercerita pasal politik, sebaliknya saya bercerita tentang hak kita sebagai orang Islam.

“Saya bukan bercakap cap ayam (cakap kosong) . saya bercakap ada asas agama dan saya tiada kepentingan dalam politik.

“Kalau kata saya hendak pertahankan jawatan sebagai mufti, jawatan ini dilantik atas perkenan Sultan Pahang,” katanya.

Di samping itu, katanya, mufti juga merupakan individu yang menyebarkan agama dan ajaran Islam serta mengajar masyarakat kepada perpaduan.

“Kita hendaklah bersatu bukan sahaja pada umat Islam tetapi perlu bersama bangsa lain ke arah perpaduan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, berjihad dalam Islam ini bukan hendak berperang tetapi hendak menolak perkara-perkara yang meruntuhkan atau yang cuba menyekat untuk kita menegakkan agama Islam ini.

Jelasnya, ini termasuklah menentang pemikiran harbi.

Beliau meminta agar masyarakat menghormati golongan ulama di negeri mereka.

Memetik kenyataan Abdul Rahman, dalam sebuah akhbar tempatan melaporkannya, DAP yang menentang hukum Islam dan mahu menubuhkan negara sekular tergolong dalam kalangan kafir harbi dan wajib ditentang umat Islam.

Beliau berkata, adalah haram dan berdosa besar bagi umat Islam bersekongkol dengan DAP.

Beliau merujuk kepada penentangan DAP terhadap RUU dibawa Presiden Pas, Abdul Hadi.

Sementara itu Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berpendapat, kenyataan dikeluarkan mufti Pahang yang mendakwa DAP sebagai kafir harbi sebagai keterlaluan.

Sehubungan itu, Ibrahim meminta supaya Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman membetulkan kenyataannya itu walaupun tidak bersetuju dengan DAP.

Ini kerana, beliau berpendapat kenyataan itu boleh mendatangkan kekeliruan terhadap orang bukan Islam terhadap agama Islam.

“Perkasa berpendapat kenyataan mufti Pahang mengenai DAP sebagai kaum kafir harbi agak keterlaluan. Perkasa memang tak bersetuju dengan politik DAP sejak dulu lagi. Ini bukan perkara baru, kita tau pasal DAP.

“Walau kita berbeza dengan DAP, tetapi isu yang dibawa mufti Pahang boleh memberi salah tafsir orang bukan Islam terhadap Islam.

“Jadi elok mufti Pahang memperbetulkan. Dia boleh menyatakan tidak bersetuju, boleh mengecam DAP, tetapi tidak boleh secara spesifik menuduh yang boleh mengelirukan pandangan orang ramai terhadap Islam,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.

Selain itu, Ibrahim juga berpendapat tidak wajar untuk sesiapa menghukum orang bukan Islam dengan dakwaan sedemikian memandangkan negara ini bukan mengamalkan pentadbiran berteraskan Islam sepenuhnya.

“Dalam bab ini kita tak boleh hukum sampai peringkat menggelar kafir harbi. Kita bersetuju dengan pandangan mufti Perlis bahawa Malaysia bukan negara mengamalkan Islam,” katanya.

Utusan Malaysia Jumaat melaporkan, DAP yang menentang hukum Islam dan mahu menubuhkan negara sekular tergolong dalam kalangan kafir harbi dan ia wajib ditentang umat Islam.

COMMENTS

Wordpress (0)