Mufti nasihat masyarakat berhenti sebar video, gambar fitnah

Mufti nasihat masyarakat berhenti sebar video, gambar fitnah

Rata-rata mufti menasihatkan masyarakat Islam agar berhenti menyebarkan fitnah berbentuk video mahupun gambar yang tidak pasti kesahihannya dalam mana-mana media sosial.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid memberi amaran kepada pelaku yang menyebarkan fitnah bahawa undang-undang masih berkuasa dalam negara ini.

Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid

“Kepada si pelaku fitnah ini kena berhati-hatilah kerana kita ada undang-undang. Segala tindak-tanduk, apa yang kita lakukan juga sentiasa diperhatikan oleh malaikat yang sentiasa berada di kiri kanan kita.

“Penyebar fitnah ini kena sedarlah bahawa kita selagi mana mengaku diri sebagai seorang islam, kita kena sentiasa berusaha melakukan perkara yang disuruh oleh agama.

“Perkara ini berleluasa kerana tidak ada sebarang tindakan segera. Andai kata tindakan segera diambil, saya percaya pihak yang cuba untuk melakukan kerja-kerja yang tidak elok ini, dia akan sedar bahawa dia diperhatikan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta supaya umat Islam seharusnya berusaha bersangka baik dan husnudzon selain mengelakkan diri dari terjebak kepada penyebaran fitnah yang belum dipastikan.

“Selidik dahulu adakah benar individu yang terlibat itu benar-benar mereka. Sekarang, orang boleh edit gambar menampakkan ia perkara betul tetapi kemungkinan di situ wujud perkara berunsur kepada fitnah,” jelasnya.

 

Menyebarkan aib

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menekankan bahawa dalam Islam, tidak cukup dengan hanya bergantung pada video untuk menuduh seseorang itu berzina.

Datuk Seri Abdul Rahman Osman

Katanya, jika tidak mencukupi syarat empat saksi yang melihat, maka tidak boleh dituduh zina dan perbuatan menyebarkan aib orang itu perkara yang sangat dilarang oleh agama.

“Tak kiralah parti mana sekalipun, orang mana sekalipun, kita sesama islam dianggap seperti saudara. Kita kena hormat kerana orang Islam ini adalah umat yang terbaik sebagaimana yang diturunkan dalam al-Quran.

“Saya rasa kalau kita nak berpolitik, ada cara politik Islam yang lain. Tak boleh gunakan perkara seperti yang berlaku sekarang ini.

“Kita sendiri dilarang mengumpat kerana ia seperti memakan daging saudara kita apatah lagi dengan video yang disebarkan. Menyebarkan maksiat yang dilakukan orang lain hukumnya haram,” tegasnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang menyebarkan fitnah kerana boleh merosakkan keluarga, masyarakat, dan umat Islam secara keseluruhannya.