Malaysia Dateline

Mufti Perak meninggal dunia

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, 82, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sebentar tadi.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang mengesahkan perkara itu memaklumkan Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 2.45 petang hari ini.

Menurutnya, seluruh warga kerja Jabatan Mufti Negeri Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Harussani.

“Dukacita dimaklumkan, Mufti Perak Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Harussani bin Hj. Zakaria baharu sahaja meninggal dunia,” kata Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak kira-kira 30 minit lalu.

Sebelum ini, Allahyarham dan isterinya disahkan positif Covid-19 bersama empat lagi kakitangan Jabatan Mufti Perak.

Terdahulu, dalam mesej yang tular mendakwa Allahyarham disahkan dijangkiti wabak tersebut sejak 11 Mei lalu dan memerlukan bantuan alat pernafasan tetapi dalam keadaan beliau masih sedar.

Allahyarham yang memegang jawatan Mufti Perak selama lebih tiga dekad dilantik pada 1985 ketika berusia 46 tahun.

Beliau memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun pusat antaranya Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran; Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.

Harussani pada 23 Ogos tahun lalu pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Ipoh akibat serangan strok dengan lemah sebelah kanan badan serta sukar bercakap.

Allahyarham yang dilahirkan di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar mempunyai empat anak hasil perkahwinan dengan Puan Sri Datin Seri Hajah Ainon Abdul Ghani.