Malaysia Dateline

Mufti Perlis cadang tukar nama Bon Odori, elak keliru dengan perayaan asal

Sambutan Pesta Bon Odori yang akan diadakan pada 16 Julai nanti perlu dipastikan ianya tidak diselitkan dengan aktiviti-aktiviti bersifat keagamaan.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, isi sambutan festival itu perlu dipastikan tidak bersifat keagamaan dengan tidak memasukkan unsur khurafat atau syirik dan tiada ritual yang mewakili kepercayaan tertentu.

Selain itu beliau juga mencadangkan agar nama Pesta Bon Odori ditukar kepada nama lain bagi mengelakkan kekeliruan.

“Jika boleh berikan nama baharu atau nama tambahan di samping nama Bon Odori bagi mengelakkan kekeliruan dengan perayaan asal yang mempunyai unsur syirik dan khurafat.

“Ini seperti menamakan festival kebudayaan Jepun atau masyarakat Jepun, maka dengan itu festival dapat diteruskan dan polemik dapat dikurangkan,” katanya dalam muat naik di akaun Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad mengingatkan umat Islam untuk tidak menghadiri festival Bon Odori yang mempunyai unsur keagamaan dan bertentangan dengan Islam.

Susulan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar tidak menyekat pesta itu.

Poster promosi penganjuran pesta itu juga memaparkan imej anime wanita berhijab yang memakai kimono dan ia mendapat reaksi negatif di media sosial terutamanya dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Susulan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar tidak menyekat pesta itu.

Sultan Selangor kemudian menitahkan pegawai Jais dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis itu bagi melihat sendiri apa yang berlaku dalam program terbabit.