Malaysia Dateline

Mufti Perlis dipertikai: Senyap bila Melayu, kecam bila Cina

Tindakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainol Abidin mengecam seorang pesalah berbangsa Cina yang mengutuk polis tetapi berdiam diri ketika tiga kesalahan seumpama itu dilakukan oleh orang Melayu dipertikaikan.

Ia bukan sahaja dikesali oleh orang politik bahkan juga para netizen yang kesal dengan sikap tidak profesional mufti itu.

“Apabila mufti bakar api perkauman,” tulis ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad melalui twitternya ketika merujuk berita yang melaporkan Mohd Asri berkata, “Wajarkah Malaysia simpan rakyat sebegini.”

Dalam laporan Malaysiakini itu, Dr Maza lantang mengecam tindakan seorang wanita yang memaki-hamun anggota polis ketika melakukan sekatan jalan raya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam.

Dalam satu hantaran di laman Instagramnya, Mohd Asri mempersoalkan kedudukan wanita itu sebagai rakyat Malaysia apabila mengingkari arahan pihak berkuasa.

“Wajarkah Malaysia menyimpan rakyat yang sebegini?” tulisnya sambil memuat naik papar layar artikel berkaitan seorang wanita dipercayai bukan Melayu yang ditahan kerana ingkar arahan PKP.

Menurut Khalid, sebelum kes wanita bukan Melayu itu, ada yang merompak duit rakyat tapi diterima sebagai rakyat kerana Melayu.

“Ada yang maki polis, katakan babi, tapi diterima kerana Melayu.

“Bila ada Cina menjerit marah pada polis, dia bersuara.

“Mufti apa ni? Patut membaiki, ni merosak,” kata Khalid melalui twitternya.

Seorang blogger, Abdul Rahman Talib turut mempertikaikan sikap Mohd Asri itu.

Beliau menyenaraikan tiga kes hina polis ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain kes bukan Melayu itu.

Antaranya kes Nursahira Mizuar kata polis babi, Aini Syanina kata polis bodoh dan Mohd Fathi Hasan kata polis beruk.

Ketiga-tiga mereka didakwa di mahkamah dan didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman denda.

“Hakikatnya Dr Maza adalah seorang Rasis dan penganut Assabiyyah Melayu.

“Menyayangi bangsa tidak diharamkan tapi bersikap tidak adil sebegini diharamkan Allah dan memburukkan nama baik Islam,” kata beliau.