Malaysia Dateline

Mufti Terengganu pula kata ajaran bekas calon Pas sesat

Selepas Pahang, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pula mengesahkan ajaran Asmaul Husna yang dibawa Ahli Jawatankuasa Pas Kuantan, Dr Wan Maseri Wan Mohd adalah sesat dan menyesatkan.

Pengerusinya yang juga Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda berkata, ajaran bekas calon Pas Indrapura dalam PRU 14 lalu tersebut bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan menyalahi syariat Islam.

Perkara tersebut diputuskan Jawatankuasa berkenaan selepas mendapat penjelasan serta laporan daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang telah bersidang pada 24 November lalu.

“Amalan serta ajaran yang dibawa oleh Dr Wan Maseri Wan Mohd adalah sesat dan menyesatkan kerana bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan menyalahi syariat Islam.

“Orang Islam di Terengganu wajib menjauhi ajaran ini dan dilarang berpegang serta beramal dengannya.

“Mana-mana orang Islam yang telah mengamalkan fahaman dan ajaran ini wajib segera bertaubat kepada Allah SWT,” katanya seperti yang dipetik dalam satu surat.

Surat berkenaan dilihat telah diterima oleh JHEAT bahagian Dakwah pada 2 December 2020.

Sementara itu Zulkifly berkata, keputusan mengharamkan ajaran tersebut dibuat bersandarkan kepada Kitab ‘Aqaid al-Asya’irah, muka surat 153; Kitab al-Aqidah Fillah (ms 185-195); Kitab al-Fikr al Shufiy fi Dhau’i al-Kitab wa al- Sunnah (ms 65-75); Kitab Syarh al-Aqidah al-Thahawiyah (ms 445); Kitab Jami’ Li Ahkam al-Quran, jilid 1 (ms 32).

Selain itu, ia juga berpandukan Kitab Tafsir wa al-Mufassirun, jilid 1, (ms 265-268); Kitab Siyar A’lam al-Nubala’, jilid 8, (408); Kitab Sahih Muslim bi Syarh al- Nawawi, jilid 2 (49-50) dan Kitab al-Tafsir al-Munir, jilid 22 (101).

Pada Oktober lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah memutuskan untuk mengharamkan ajaran yang dibawa Wan Maseri dari disebarkan di negeri itu.

Menerusi surat bertarikh 23 September 2020 yang tular di media sosial, Jawatankuasa berkenaan mendapati ajaran Wan Maseri meragukan dan menyalahi kaedah penyampaian ilmu yang boleh membawa kepada kesesatan.