Mufti tolak KM Melaka Syiah

Mufti tolak KM Melaka Syiah

Mufti Negeri Melaka Sahibus Samahah  Datuk Abdul Halim Tawil menolak dakwaan bahawa Ketua Menteri Melaka yang baharu, Adly Zahari berfahaman Syiah seperti yang tular di laman sosial.

Jelas Datuk Abdul Halim, beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Adly berhubung perkara tersebut.

“Penjelasan yang diberikan berkaitan dengan gambar yang (tular di media sosial) tersebut  adalah gambar semasa beliau berada di  Iran ketika mengadakan sesi lawatan ke beberapa negara Timur Tengah beberapa tahun yang lalu.

“Manakala kutipan kata hikmah yang dinukilkan di laman sesawangnya adalah kata-kata yang mempunyai mesej dan makna yang baik yang dijadikan sebagai motivasi untuk dikongsikan,” kata beliau dalam satu kenyataan akhbar.

Menurut Abdul Halim, Adly menegaskan bahawa beliau dididik, dibesarkan dan berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah yang berpandukan kepada Al-Quran, Hadis, ijmak dan qias.

“Beliau berpegang (kepada) prinsip akidah al-Asya’ariyah dan Al-Mathuridiyyah, fiqh Syafi’eyah dan tasawuf akhlak Imam Al-Ghazali,” jelas Abdul Halim.

Sehubungan itu beliau menasihatkan seluruh umat Islam supaya lebih berhati-hati dalam menyampaikan mesej di media sosial dan elektronik atau pengucapan awam supaya ia tidak menimbulkan kontroversi dan polemik masyarakat.

Dalam masa sama jelas beliau, masyarakat hendaklah sentiasa mengamalkan kaedah bertabayyun (menyelidik dan mengkaji) dalam semua perkara sebelum menyebarluaskan sesuatu perkara yang tidak jelas dan pasti.

Abdul Halim juga menasihati semua pihak agar menerima keputusan pilihan raya secara terbuka dan berlapang dada atas keputusan yang dibuat oleh rakyat Malaysia secara demokratik dan berperlembagaan.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah membentuk kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.

Beliau berharap kerajaan yang baharu ini dapat menunaikan tanggung jawab serta amanah yang diberikan rakyat.

7.7
OVERALL SCORE
: 6.0
5 user votes x 8.0