Malaysia Dateline

Mufti Wilayah mesti Ahli Sunnah WaL Jamaah

Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha pihak kerajaan untuk melantik selain dari mereka yang beraliran Ahli Sunnah Waljamaah bagi mengisi jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Kalau kita lihat di bawah Seksyen 54, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu), bertegas bahawa hendaklah berpegang teguh dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah(ASWJ) yang bermazhab Imam Syafii dan mazhab-mazhab lain harus meraikannya.

Dengan ini akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan rasmi institusi dan masyarakat Islam di Negeri Terengganu serta satu-satunya akidah yang diyakini oleh masyarakat Islam Nusantara yang menjamin keselamatan sejagat. Maka sebarang ajaran, fahaman dan pegangan ideologi yang bercanggah dengannya wajib ditolak oleh setiap institusi yang dipelopori oleh umat Islam kerana dibimbangi menimbulkan perpecahan dan gangguan kepada akidah umat Islam.

Dengan apa cara sekalipun kerajaan hari ini khususnya dalam bidang agama, perlulah menpertahankan keamanan negara ini dan memelihara akidah Ahli Sunah Waljamaah yang berpegang pada mazhab Shafie.

Kepentingan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpaksikan aliran Asya’irah dan Maturidiyyah adalah menyamai kepentingan terhadap pegangan Islam itu sendiri dan mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah sama dengan mempertahankan Islam itu sendiri.

Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah mempunyai kekuatan dalam budaya hidup masyarakat yang bersifat wasatiyyah berbanding dengan pelbagai aliran pemikiran lain yang berkembang dalam masyarakat Islam termasuk Wahabiyah, Hanabilah, Muktazilah mahupun Syiah.

Fahaman-fahaman tersebut bukan sahaja keterlaluan dalam berakidah, bahkan menutup pintu ijtihad dan kejumudan; Ahli Sunnah Wal Jamaah disebut dalam hadis sebagai kumpulan yang besar dan Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan agar umat Islam sentiasa merujuk kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam menentukan sebarang bentuk kekhilafan dan perbezaan pendapat.

Oleh hal yang demikian, tindakan tegas ke arah menghalang perkembangan yang lain mestilah diambil supaya pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah itu tidak tergugat. Malaysia yang stabil dengan fahaman Sunni atau Ahli Sunah Wal Jamaah tidak sepatutnya dibiar
menjadi sasaran resapan mana-mana mazhab yang memungkinkan kepada perseteruan atau permusuhan.

Salah satu aliran teologi (akidah) dalam Islam adalah Ahli Sunah Waljamaah. Sekitar 70 peratus umat Islam di dunia mengikuti faham ini. Ahli Sunah Wal Jamaah sering juga disebut aliran Sunni. Sesuai dengan dengan apa cara sekalipumnamanya, Ahli Sunah
Waljamaah merupakan aliran yang percaya sepenuhnya kepada sunnah atau hadis Nabi Muhammad SAW yang sahih.

Aliran ini juga merupakan golongan majoriti dalam Islam sesuai dengan sabda Nabi bermaksud “umatku (majoriti nya) sentiasa berada atas jalan kebenaran (agama yang benar), sehingga kiamat tidak menjejaskan mereka oleh mereka yang menyalahi mereka sekali-kali .( HR Muslim). Golongan Ahli Sunah Wal Jamaah berasal dari dua kelompok Islam, iaitu pengikut aliran Asyariah dan pengikut aliran Maturidiah. Kedua-dua aliran itu lahir sebagai reaksi terhadap fahaman Muktazilah yang rasional dan falsafah, terutama dalam menanggapi hadis Nabi SAW.

Tokoh yang berjasa membangun fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah adalah Abu Hassan al- Asyaari dan Abu Mansur Muhammad al-Maturidi. Kedua-duanya berusaha menampung aspirasi umat Islam yang berpegang pada sunah Nabi SAW. dan tradisi sahabat.

Fahaman yang dikembangkan al-Asyaari (Asyaariah) dianut para pengikut Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Hambali di Iraq. Pada waktu berikutnya, tokoh yang paling berjasa mengembangkan fahaman ini adalah Imam al-Ghazali. Berkat usaha beliaulah fahaman ini tersebar luas di seluruh dunia Islam.

Terdapat empat sumber hukum bagi kalangan Ahli Sunah Wal Jamaah iaitu al-Quran, hadis Nabi, ijmak (kesepakatan para ulama terutama mengenai suatu pertimbangan hukum). Hal ini berbeza daripada kalangan Syiah atau wahabi yang menolak kias, dan kalangan Muktazillah yang tidak menggunakan ijmak.

Adalah penting seluruh ulama di rantau Nusantara melakukan ijmak, mengisytiharkan bahawa Nusantara sebagai wilayah sunni. Amat ditakuti apabila sesuatu fahaman lain bertapak kukuh dan berpengaruh di kalangan rakyat, sudah tentu apa yang kita bina sejak beratus-ratus tahun di rantau ini akan musnah begitu sahaja.

Dalam konteks negara kita Malaysia, para ulama dan cendekiawan Islam telah pun menegaskan perlunya Islam sebagai agama rasmi negara yang berpegang kepada pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah merupakan pegangan majoriti umat Islam sepanjang fahaman yang merangkumi aliran salaf dan khalaf. Ia bersendikan empat mazhab, iaitu Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali.

Dan kita yakin dari segi kesepaduan budaya `akliah' silam, melalui bahasa Melayu (jawi) yang merupakan lambang keutuhan jamaah Nusantara dengan Islam adalah hasil perjuangan ulama pembela dan penegak konsep Ahli Sunah Waljamaah.

Justeru, roh dan konsep Ahli Sunah Wal Jamaah harus dipertegaskan kembali. Para ulama harus mendekati semula hikmah ini. Dan menjadikan ia tapak ke arah kegemilangan berilmu dan berbudaya. Kita harus menegaskan bahawa Ahli Sunah Wal Jamaah bukan sekadar mazhab. Ia suatu konsep yang luas lagi murni dan berjaya menyerap hubungan persaudaraan dan kekuatan umat Islam.

Oleh demikian, adalah menjadi kewajipan kepada kerajaan dan semua rakyat Malaysia untuk membanteras gejala kerosakan dan pencemaran akidah ini sebelum ia menular dan sebati dalam kehidupan kita. Sesungguhnya gejala ini amat berbahaya bagi umat Islam dan keselamatan negara.

* Mohd Shauki Abd Majid adalah Pengarah Media Dan Komunikasi Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW).