Malaysia Dateline

Mufti Wilayah Persekutuan baharu Dr Luqman ganti Dr Zulkifli

Pensyarah Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Universiti Malaya, Dr Luqman Abdullah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan ke-8 berkuatkuasa pada 15 Mei 2020 sehingga 14 Mei 2022.

Pelantikan beliau telah disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.

Dr Zulkifli di entri facebooknya memberitahu beliau telah menerima kunjungan Dr Luqman kemudian diikuti majlis serahan tugas yang berlangsung dalam suasana ringkas.

“6 tahun memegang jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, memberi saya pengalaman baharu yang amat bermakna.

“Saya mohon maaf kepada semua umat Islam di Wilayah Persekutuan dan Malaysia amnya sekiranya terdapat tutur kata, tindakan mahupun apa jua salah dan silap sepanjang 6 tahun sebelum ini. ⁣

“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga dikurniakan kekuatan kepada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan agar dapat melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau juga yakin, Sahibus Samahah Dr. Luqman mampu untuk memimpin institusi fatwa di Wilayah Persekutuan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan. ⁣

Dr Luqman berusia 51 tahun dilahirkan di Kelantan dan anak kepada seorang ulama terkenal iaitu Allahyarham Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman yang juga Pengerusi Madrasah Ar Rahmaniah Pondok Lubok Tapah.

Dr Luqman mendapat bimbingan pendidikan agama menerusi Allahyarham bapanya dan aktif dalam pembentangan kertas kerja dalam forum dan seminar sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa dalam bidang persoalan wakaf, zakat, usul fiqh dan pengajian tradisional.

Beliau pernah menetap selama empat tahun di United Kingdom ketika melanjutkan pengajian di peringkat Kedoktoran Falsafah (PhD) di Universiti Edinburgh dalam bidang undang-undang harta Islam.

Peringkat profesional, beliau adalah Ahli Lembaga Pusat Pembangunan Pengajian Pondok Kelantan, Ahli Panel Pakar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ahli Panel Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).