Mufti Wilayah Persekutuan ucap tahniah kepada Tun M sebagai PM Ke-7

Mufti Wilayah Persekutuan ucap tahniah kepada Tun M sebagai PM Ke-7

Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Datuk Dr. Zukifli Mohamad al-Bakri berkata, beliau selaku Mufti WP mewakili seluruh warga Pejabat Mufti WP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad atas pelantikan sebagai Perdana Menteri yang ke-7.

Kata beliau, memandangkan musim Pilihan Raya Umum sudah tamat, sudah sampai masanya semua pemimpin yang telah dipilih bersatu hati dan bekerjasama menggalas tugas yang diamanahkan dengan bijaksana.

“Semoga kepimpinan baharu Malaysia memperoleh rahmat, berkat, hidayah dan berada dalam lembayung redha Allah SWT.

“Kami akan terus memberikan kerjasama yang terbaik bagi manfaat umat Islam di Wilayah Persekutuan dan umumnya seluruh rakyat Malaysia,” tulis beliau dalam Facebooknya semalam.

Dr, Zulkifli memetik kata-kata Fudhail bin ‘Iyadh:

“Seandainya aku mempunyai doa yang mustajab, aku akan jadikannya sebagai doa untuk pemerintah.”

Ingatlah ucapan Nabi Sulaiman alaihissalam tatkala dianugerahkan-Nya kerajaan yang agung,

“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha
Kaya, lagi Maha Pemurah”. [Surat An-Naml 40]

Beliau turut berharap rakyat Malaysia menzahirkan kesyukuran ini dengan memanjatkan pujian kepada Allah yang Maha Berkuasa.