Malaysia Dateline

Datuk Dr Zulkifli Mohamad al Bakri

Mufti Wilayah seru umat Islam sambut Tahun Baru 2020 sebagai hari kesyukuran

Bersempena menyambut tahun baru, rakyat Malaysia terutamanya umat Islam diingatkan agar menyambutnya dalam keadaan yang berpandukan dengan batas-batas agama dan mengikut adat-adat ketimuran.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, menyeru umat Islam untuk menjadikan sambutan Tahun Baharu 2020 sebagai hari kesyukuran atas segala nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan Allah SWT kepada negara tercinta.

Beliau turut menasihatkan agar ia disambut dengan penuh keinsafan dan tidak leka dengan keghairahan sehingga mengetepikan tatasusila bangsa

“Justeru, dengan penuh keinsafan dan rendah diri, kami turunkan beberapa cangkir nasihat dan amanat, moga-moga dapat jua ia menjadi bekalan dan pedoman buat semua yang ingin menyambutnya pada malam ini.

“Pertama, Sambutlah Tahun Baharu dengan asas ia adalah semata-mata uruf dan adat kebiasaan, bukannya upacara ritual mana-mana agama.

“Kedua, elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis sambutan yang mengandungi perkara-perkara yang ditegah oleh syarak seperti hidangan arak, pergaulan bebas lelaki perempuan dan hiburan melampau yang melalaikan.

“Sesungguhnya seorang muslim akan sentiasa memelihara dirinya daripada apa jua yang melalaikan,” katanya melalui hantaran kemaskini Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, umat Islam turut diingatkan agar tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang, syariat dan akhlak seorang muslim seperti vandalisme, membuang sampah merata-rata, dan menganggu orang lain.

Seterusnya, beliau berharap agar malam Tahun Baru dapat diisi dengan menghadiri program-program yang bermanfaat, dan bukannya hiburan semata-mata.

Antaranya, seperti solat berjemaah di masjid atau surau, mendengar ceramah agama, forum-forum ilmu, hiburan bermesej yang tidak melalaikan dan berdoa memohon kesejahteraan.

Ini kerana katanya, ia bertepatan dengan sifat seorang muslim yang sentiasa mengisi masanya dengan perkara yang berfaedah.

“Kelima dan yang terakhir, ajaklah diri dan keluarga bersama-sama bermuhasabah akan segala apa yang telah dilalui sepanjang setahun yang lepas dan azam baharu untuk dicapai pada tahun mendatang.

“Terutamanya dalam menggapai redha dan rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat.

“Contohilah junjungan besar Nabi Muhammad SAW saat Baginda diberikan kemenangan besar dalam peristiwa pembukaan Kota Makkah.

“Ia tidak sesekali disambut dengan pesta dan majlis keramaian yang gilang gemilang. Namun disambut dengan penuh kesederhanaan, ketundukan dan kerendahan diri kepada Allah SWT sambil melafazkan kalimah-kalimah suci dan kkeampunan-Nya,” ujarnya.