Muhammad Adib sah dibelasah

Muhammad Adib sah dibelasah
Muhammad Adib kini ditempatkan di Institut Jantung Negara untuk menerima rawatan rapi kecederaan dialaminya.-Foto Utusaonline.

Polis mengesahkan kecederaan parah dialami anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, adalah akibat diserang serta dibelasah dan bukan dilanggar jentera seperti didakwa Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, berdasarkan siasatan serta maklumat yang diperoleh pihaknya, tiada sebarang petunjuk mengatakan Muhammad Adib dilanggar jentera bomba.

“Perkara ini sudah dijelaskan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid semalam dan pihak bomba juga sudah membuat laporan polis untuk nafi dakwaan tersebut.

“Kita sedang kenal pasti pihak yang buat rakaman video itu, kita juga akan panggil pihak yang buat dakwaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Forum Suruhanjaya Bebas Adu­an dan Salah Laku Polis (IPCMC): Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras semalam.

Tambah Mohamad Fuzi, pihaknya masih lagi memburu pihak yang bertanggungjawab membelasah Muhammad Adib dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dapat tampil menyalurkannya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi ketika diminta menjelaskan mengenai tangkapan dua peguam pemaju One City Development Sdn. Bhd. (One City) yang dikatakan mengupah sekumpulan samseng untuk menyerang kuil berkenaan memberitahu, mereka adalah penasihat syarikat tersebut.

“Buat masa ini saya tidak mahu mengulas lanjut me­ngenai suspek tersebut kerana bimbang ia akan bercanggah dengan kenyataan dikeluarkan Menteri Dalam Ne­geri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor semalam.
“Selain mereka berdua, kita belum ambil kenyataan dari pihak pemaju lagi,” ujarnya.