Muhammad Adib tunjuk reaksi positif, kata IJN

Muhammad Adib  tunjuk reaksi positif, kata IJN
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menziarahi Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN) petang tadi.-Foto Astroawani.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Muhammad Adib Mohd Kassim menunjukkan reaksi positif selepas dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) malam semalam.

Bagaimanapun, beliau masih berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pemantauan dan sokongan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurut kenyataan IJN hari ini, Muhammad Adib dilihat memberi respons positif kepada alat sokongan paru-paru (full cardio-pulmonary support) menggunakan sistem ‘Extra Corporeal Membrane Oxygenation’ (ECMO).

“Pesakit tersebut tiba di IJN pukul 12 tengah malam semalam dan segera dipindahkan ke ICU.

“ECMO menggunakan ‘Centrimag – Acute Circulatory Support System’ telah dipasangkan kepada pesakit dan prosedur tersebut selesai 2.30 pagi,” kata IJN.

Mesin ECMO membantu menormalkan aliran haemodynamic dengan purata 4 hingga 5 liter seminit di dalam badan dan menghantar tahap oksigen yang tinggi ke dalam darah.

Ia mengurangkan peranan jantung dan paru-paru sekali gus membolehkan kedua-dua organ itu pulih daripada kecederaan.

Pasukan pakar IJN merangkumi enam doktor pakar meliputi pelbagai bidang, tiga kakitangan paramedik dan lapan jururawat rawatan rapi.-

Loading...