Malaysia Dateline

Muhammad Aiman sambut baik hasrat kerajaan bina Klinik Kesihatan baharu

Calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membuka sebuah Klinik Kesihatan baharu di Semenyih.

Beliau berkata, dengan pengumuman dibuat oleh Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai bukti PH mendengar suara rakyat di Dun Semenyih.

“Untuk mengadakan sebuah Klinik Kesihatan adalah satu permulaan yang baik kerana kerajaan mendengar suara rakyat di Semenhyih.

“Jika ada peluang, kita akan perjuangkan pula membina sebuah hospital di masa depan. Ini kerana hospital juga adalah satu keperluan untuk rakyat Semenyih,” ujarnya.

Semalam Dr Dzulkefly mencadangkan satu klinik kesihatan baharu dibina di Semenyih, bagi mengatasi kesesakan kemudahan sedia ada di kawasan itu.

Katanya, pembinaan klinik itu akan dipertimbangkan sekiranya Klinik Kesihatan Semenyih tidak boleh lagi diperbesarkan atas faktor ketiadaan ruang.

Katanya, Klinik Kesihatan Beranang dan Hospital Kajang juga akan turut ditambah baik, di samping pembinaan Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak Kajang yang dibina sejak tahun lalu.

Muhammad Aiman yang ditemui media hanya dibenarkan memasuki kawasan pusat mengundi di Dewan Serbaguna Batalion 4 PGA Semenyih pada jam 11 .30 pagi tadi.

Ini disebabkan beliau tidak membawa pas calon pilihan raya ketika hadir pada jam 8.50 pagi tadi.

” Saya sudah berada depan pagar tetapi tertinggal pass dan beberapa dokumen di dalam sebuah kereta yang sudahpun bergerak ke Kuala Lumpur. Saya terpaksa menunggu kereta itu berpatah balik kerana pihak pengawal tidak membenarkan saya melepasi kawasan pusat pengundian,” ujarnya ketika ditanya media sebab kelewatannya.

Menurut beliau lagi, ketegasan pengawal polis menunjukkan ketelusan untuk menjaga keselamatan dan peraturan ditetapkan SPR.

“Sebagai calon PH yang wakili kerajaan saya tidak dibenarkan masuk. Saya terpaksa menunggu dipagar hampir dua jam. Ini menunjukkan ketelusan kerajaan yang memerintah hari ini,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu sudah memenuhi 70 peratus kawasan sepanjang kempen dan akan bergerak agresif untuk meliputi semua kawasan di dalam Dun Semenyih untuk tempoh berbaki tiga hari lagi sebelum hari pembuangan undi pada 2 Mac depan.